suria

Pemilihan PKR: 2 Negeri Mula Proses Pengundian

PETALING JAYA: Pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bermula hari ini di 10 Cabang di Kelantan dan Kedah.

Proses pengundian yang bermula pukul 10 pagi tadi dijangka berakhir pada pukul 4 petang ini.

Cabang di Kedah yang mula mengundi hari ini ialah, Langkawi, Kubang Pasu, Alor Star, Kuala Kedah dan Pokok Sena.

Manakala di Kelantan ialah Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Pengkalan Chepa.

Sementara itu, Pentadbir Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Raden Shamsulkamar Raden Shamsudin berkata proses pengiraan undi pula akan dilakukan sejurus selepas pusat pengundian ditutup.

“Setakat ini maklumat yang diterima proses pengundian berjalan lancar. Keputusan pemilihan tidak dapat dipastikan kerana ia bergantung kepada jumlah ahli bagi setiap cabang.

"Kalau cabang yang ramai ahlinya, keputusannya dijangka mungkin lewat malam atau awal pagi," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya juga membenarkan calon atau wakil calon memantau ketika pengiraan undi dijalankan.

"Seramai 200 pengawas dilantik untuk menguruskan pemilihan cabang di seluruh negara," katanya.

Menurutnya, 43 cabang akan mengundi esok sementara 36 cabang lagi akan melaksanakan tanggungjawab mereka Ahad ini.

Pemilihan pimpinan pusat PKR yang bermula hari ini akan berakhir pada 20 November depan melibatkan 400,000 ahli diperingkat akar umbi yang layak mengundi pada pemilihan kali ini.

Pemilihan bagi jawatan timbalan presiden menyaksikan saingan tiga penjuru antara dua Naib Presiden iaitu Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub serta Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Datuk Zaid Ibrahim yang juga pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Walaupun persaingan untuk jawatan itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru, secara umum mengetahui ia sebenarnya adalah pertandingan antara Zaid dan Azmin.

Sementara itu, jawatan naib Presiden pula akan menyaksikan 17 calon layak bertanding antaranya ialah, Nurul Izzah Anwar, Abdullah Sani Abdul Hamid, Tian Chua, Dr Xavier Jeyakumar, Fuziah Salleh, Jonson Chong dan N. Gobalakrishnan manakala 132 calon pula akan bersaing bagi merebut 20 kerusi MPP.

Bagi ahli Pemuda dan Wanita pula, pemilihan bagi memilih pucuk pimpinan parti akan berlangsung pada hujung minggu.

Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), pula menyaksikan penyandangnya, Shamsul Iskandar Mohd Akin akan dicabar oleh Badrul Hisham Shaharin.

Jawatan Ketua Wanita pula menyaksikan Zuraida Kamaruddin berdepan dengan dua calon iaitu Animah Ferrar dan Suraya Sudin.

Cabang-cabang lain akan mengundi pada hari Sabtu hingga 21 November ini adalah seperti berikut:

(Sabtu, 30 oktober 2010)

Pahang: Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Indera Mahkota, Kuantan dan Pekan.

Negeri Sembilan : Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rasah, Seremban dan Telok Kemang.

Sabah : Kudat, Kota Belud, Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Ranau, Keningau, Libaran, Sandakan dan Silam.

Kelantan : Kubang Kerian, Bachok, Ketereh, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Kedah : Kulim - Bandar Baharu dan Padang Serai.

Perak: Gerik, Lenggong, Larut, Parit Buntar, Bagan Serai, Bukit Gantang, Taiping, Padang Rengas dan Sungai Siput.

Perlis: Padang Besar, Kangar dan Arau.

(Ahad, 31 Oktober 2010)

Pahang :Paya Besar, Maran, Kuala Krau, Temerloh, Bentong, Bera dan Tampin.

Negeri Sembilan: Rembau dan Rompin.

Perak : Tambun, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Batu Gajah, Kuala Kangsar, Beruas, Parit dan Kampar.

Pulau Pinang: Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Batu Kawan dan Bukit Mertajam.

Melaka : Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu dan Bukit Katil.

Sabah : Tawau, Pensiagan, Kota Marudu, Sepanggar, Putatan, Sipitang, Beluran dan Tenom.

(Jumaat, 12 November 2010)

Kedah : Jerai, Merbok, Sungai Petani, Baling, Sik, Jerlun, Padang Terap dan Pendang.

Kelantan : Machang, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

(Sabtu, 13 November 2010)

Pulau Pinang : Nibong Tebal, Bukit Bendera, Bukit Gelugor, Bayan Baru dan Balik Pulau.

Wilayah Persekutuan : Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa dan Titiwangsa.

Johor : Segambut, Ledang, Bakri dan Muar.

Terengganu : Setiu, Besut, Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu.

Sabah : Batu Sapi, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan dan Labuan.

Selangor : Sepang.

Perak : Gopeng, Tapah, Pasir Salak, Lumut, Bagan Datoh, Telok Intan dan Tanjong Malim.

Sarawak : Mas Gading, Petra Jaya dan Stampin.

Melaka : Kota Melaka dan Jasin.

(Ahad, 14 November 2010)

Wilayah Persekutuan : Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras dan Bandar Tun Razak.

Wilayah Persekutuan Putrajaya : Putrajaya.

Sarawak : Sri Aman, Betong, Julau, Lanang, Bintulu dan Miri.

Selangor : Kuala Langat, Kota Raja, Klang, Kapar, Shah Alam, Subang, Petaling Jaya Utara dan Petaling Jaya Selatan.

Pulau Pinang : Tanjong dan Jelutong.

(Sabtu, 20 November 2010)

Johor : Tenggara, Johor Bharu dan Pulai.

Selangor : Kelana Jaya, Puchong, Serdang, Sabak Berman, Sungai Besar dan Hulu Selangor.

Sarawak : Lawas, Hulu Rajang, Mambong, Santubong, Bandar Kuching dan Batang Lupar.

(Ahad, 21 November 2010)

Johor : Gelang Patah, Kulai, Pontian, Tebrau, Kota Tinggi, Pasir Gudang, Sekijang, Labis, Pagoh, Pengerang, Tanjong Piai, Ayer Hitam dan Mersing.

Selangor : Tanjong Karang, Kuala Selangor, Selayang, Gombak, Ampang, Pandan dan Hulu Langat.

Sabah : Kimanis.

Sarawak : Kanowit, Sibu, Sarikei, Sibuti, Lubok Antu, Kota Samarahan, Batang Sadong, Serian, Tanjong Manis, Mukah, Baram, Saratok, Kapit, Limbang dan Igan.

Artikel Lain