suria

Konvoi Jelajah 1Malaysia Berlepas Ke Kelantan

KANGAR: Konvoi Jelajah IMalaysia Kami Prihatin Dengan Anak yang tiba di sini semalam hari ini berlepas ke Kelantan bagi meneruskan kempen menangani isu pembuangan bayi.

Sebanyak 250 peserta yang menggunakan 180 motosikal berkuasa tinggi itu dilepaskan oleh Senator Khalid Ahmad yang mewakili Menteri Besar Perlis di Dataran Datuk Sheikh Ahmad di sini.

Malam tadi, para peserta konvoi yang terdiri daripada anggota Persatuan Bermotosikal Negeri Johor itu diraikan oleh kerajaan negeri Perlis pada majlis makan malam di Dewan Besar Kompleks Warisan di sini.

Turut menyertai konvoi sejauh 3,200 kilometer itu ialah penaung jelajah itu, Tunku Hassan Tunku Mohammed Archibald, Pengerusi Persatuan Bermotosikal Negeri Johor Abdul Rahim Ahmad dan penyanyi terkenal Fauziah Latiff.

Konvoi itu bermula Selasa lalu dan dijadualkan berakhir Ahad ini yang singgah di beberapa institusi pengajian tinggi yang antara lain bertujuan meningkatkan kepekaan mahasiswa terhadap isu pembuangan bayi melalui pengedaran risalah dan kempen mencegah pembuangan bayi.

Konvoi itu dijadualkan singgah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) apabila tiba di Kelantan hari ini dan pada 31 Oktober, mereka akan singgah di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) sebelum kembali ke Johor.

Sebelum ini konvoi itu singgah di Universiti Teknikal Melaka (UTeM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Kolej Islam Antarabangsa (KIA) dan semalam singgah di Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sementara itu, Khalid ketika melepaskan para peserta berkata isu pembuangan bayi perlu ditangani secara bersama dan langkah konvoi itu amat dialu-alukan.

Kes-kes pembuangan bayi adalah isu sosial yang serius dan menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat untuk menanganinya dengan bijak. -BERNAMA

Artikel Lain