suria

GALAS: Ku Li Khianati PAS

GUA MUSANG: PAS mendakwa Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengkhianati parti itu apabila membubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno pada 1996.

Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah turut menyalahkan Tengku Razaleigh kerana tindakannya itu menyebabkan masyarakat Orang Asli dibelenggu masalah hak milik tanah.

Malah beliau mendakwa Tengku Razaleigh turut membawa semua fail yang berkaitan dengan hal ehwal Orang Asli bersamanya hingga kerajaan PAS Kelantan gagal menangani isu-isu berkaitan kaum terbabit.

"Apabila Ku Li hancurkan (Semangat) 46 dan Umno, tiada fail lagi yang ditinggalkan, kita tidak tahu di mana nak mulakan untuk meneruskan (urusan Orang Asli)."Jadi ia adalah satu pengkhianatan yang Ku Li dan Semangat 46 lakukan," katanya dalam sidang media di Markas PAS di sini, Jumaat.

Menurutnya semasa Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berada dalam Semangat 46, kerajaan PAS Kelantan memberi kepercayaan kepada Tengku Razaleigh bagi menguruskan mengenai kepentingan Orang Asli yang majoritinya berada di sekitar Gua Musang.

Bagaimanapun kata Wan Abdul Rahim, kepercayaan yang dikhianati itu akhirnya memberi impak negatif kepada PAS di Kelantan.

"Dahulu masalah kita di Kelantan, kita banyak sangat bergantung kepada Ku Li, kita bergantung kepada Semangat 46.

"Semua permasalahqn Orang Asli sebab ia melibatkan Gua Musang, semuanya PAS setuju beri kepada Ku Li dan Semangat 46 untuk bertanding... semua urusan kita serah kepada dia," katanya.

Masalah melibatkan hak milik tanah menjadi isu utama yang membelenggu masyarakat di DUN Galas sama ada Melayu, Cina India mahupun Orang Asli.

Namun isu berkaitan hak milik tanah hanya boleh diselesaikan oleh kerajaan negeri.

Artikel Lain