suria

GALAS: Ku Li Jawab Wan Rahim...

GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dalam nada sinis berkata, kerajaan PAS Kelantan sepatutnya menyiasat 'orang dalam' berhubung dakwaan 'kehilangan' fail berkaitan hak milik tanah Orang Asli.

Menurutnya, isu hak milik tanah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan semua dokumen mengenainya sepatutnya berada dalam simpanan pegawai-pegawai dalam kerajaan.

Malah secara berseloloh beliau berkata, pegawai dalaman kerajaan PAS Kelantan merupakan individu yang perlu disyaki jika benar dakwaan kehilangan dokumen berkenaan wujud.

"Mana ada fail, saya bukan (bertugas) dalam kerajaan (negeri Kelantan). Saya tak pernah ada dalam kerajaan.

"Kalau orang bawa lari fail, orang kerajaanlah, siapa dalam kerajaan?" katanya ketika ditemui pada majlis jamuan makan bersama rakyat di Taman Wangi di sini, Jumaat.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu berkata demikian sebagai mengulas mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bahawa beliau menjadi punca kepada masalah hak milik tanah yang membelenggu masyarakat Orang Asli.

Malah beliau mendakwa Tengku Razaleigh turut 'menghilangkan' semua fail yang berkaitan dengan hal ehwal Orang Asli bersamanya selepas membubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno pada 1996 hingga kerajaan PAS Kelantan gagal menangani isu-isu berkaitan kaum terbabit.

Mengulas lanjut mengenainya, Tengku Razaleigh menyifatkan tuduhan itu sebagai karut.

Justeru beliau enggan terlibat dalam polemik tuduh-menuduh yang cuba dilakukan oleh PAS bagi meraih undi khusunya dikalangan masyarakat Orang Asli.

"Saya di sini nak jawab apa yang dia (PAS) kata ke? Tak perlu jawab, benda yang karut saya tak nak jawab, saya tak nak terlibat dalam polemik begini," katanya.

Diminta mengulas mengenai tuduhan pengkhianat apabila membubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno, Ahli Parlimen selama 35 tahun itu berkata rakyat lebih mengenali beliau apabila terus memberi kepercayaan kepadanya.

"Tak apalah, katalah...yang tidak khianat...kalau tidak saya tak akan kenal sebagai wakil rakyat.

"Saya tak curi duit, tak ada curi apa-apa, (sebaliknya) macam-macam saya lakukan untuk bantu rakyat di sini," katanya.

Artikel Lain