suria

BN Terima Maklum Balas Positif Di Galas

GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) menerima maklum balas positif daripada pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas termasuk pada kalangan mereka yang membuat undi protes pada pilihan raya umum lepas.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah berkata gambaran positif juga diterima daripada kalangan pengundi muda.

Sambutan positif golongan muda ini mungkin ada kaitan dengan calon BN Abdul Aziz Yusoff yang sebelum ini merupakan Pengerusi Belia 4B Gua Musang atau lebih dikenali sebagai 'Aziz Limau' dan terkenal dalam memperjuangkan golongan itu tanpa mengira kaum, katanya.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ditemui pemberita selepas beramah mesra dengan penduduk sekitar bandar baru Gua Musang, di sini malam Khamis.

"Ini merupakan satu momentum yang baik kerana dia (Abdul Aziz) merupakan seorang calon yang memahami citarasa orang muda sebab telah lama menjadi aktivis belia di peringkat akar umbi," katanya.

Abdul Aziz akan berdepan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad pada pilihan raya kecil DUN itu pada 4 November ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, dari parti PAS meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September. - BERNAMA

Artikel Lain