suria

BATU SAPI: Calon PKR Ansari Jatuh Dalam Laut Lagi...

SANDAKAN: Ini bukan cerita olok-olok tetapi kisah benar...Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah terjatuh ke dalam laut lagi - kali kedua dalam tempoh tidak sampai tiga hari.

Kali ini beliau terjatuh ke dalam Laut Sulu apabila lantai kayu titi setinggi tiga meter yang menghubungkan Kg Gas di sini runtuh.

Ansari yang kelihatan terkejut mengalami calar-calar pada lutut dan juga dada.

Beliau kemudian membuat keputusan untuk menjalani pemeriksaan di Hospital The Duchess of Kent. Ansari hanya meneruskan siri kempennya pada sebelah petang.

Selain Ansari, tiga lagi turut terjatuh bersamanya. Mereka juga hanya mengalami kecederaan ringan.

Salah seorang daripadanya ialah Zakaria Rahim dari PKR Selangor.

Rabu lalu, Ansari,56, yang juga merupakan seorang peguam mengalami nasib yang sama ketika berkempen di Pulau Api Api.

Menurut Kordinator Media PKR, Sim Tze Tzin, ketika kejadian itu berlaku, Ansari dan yang lain-lain sedang mengiringi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ke rumah salah seorang penduduk pada lebih kurang jam 3 petang.

Khalid yang berjalan di hadapan telah pun memasuki salah sebuah rumah penduduk kampung itu tetapi Ansari bersama tiga yang lain tiba-tiba terjatuh ke laut apabila lantai titi itu pecah dan patah dua.

Mereka kemudiannya dengan bantuan orang ramai serta penduduk kampung berkenaan dibawa naik ke atas.

Ansari menyalahkan Kerajaan Barisan Nasional kerana gagal memperbaiki taraf kehidupan masyarakat kampung berkenaan.

Ansari kemudiannya menyertai penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ceramah umum di Sibuga, Kg Gas Besar, Karamunting dan Taman Pohing.

Artikel Lain