suria

Awas Tiket Palsu Piala Malaysia...

KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa)mengingatkan penyokong pasukan negeri itu yang mahu menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam esok agar memastikan tiket mereka adalah tulen.

Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Tuan Hashim Tuan Yaakob berkata, ingatan itu diberikan apabila persatuan itu telah dihubungi oleh segelintir penyokong yang berasa ragu terhadap tiket yang dibeli mereka.

"Kita mendapati tiket tersebut yang dibeli melalui "ulat" itu adalah palsu yang bukan dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Kafa tidak akan bertanggungjawab atas pembelian tiket palsu dan ini akan merugikan peminat.

"Kafa juga ingin mengingatkan peminat yang membeli tiket di Stadium Nasional, Bukit Jalil juga perlu mengelak membeli daripada ulat bagi membendung masalah yang sama," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

FAM telah memperuntukkan sebanyak 30,000 tiket kepada Kelantan manakala yang masih belum mendapatkan tiket, mereka boleh mendapatkannya di kaunter tiket di Bukit Jalil itu.

Seorang pembeli tiket palsu Zamzuri Yatim, 37, ketika dihubungi Bernama berkata beliau telah mendapatkan tiket yang didakwa tulen itu daripada seorang lelaki di perkarangan Stadium Sultan Muhammed Ke-IV di sini, semalam.

Beliau yang berasal dari Tumpat itu berkata melalui lelaki itu beliau telah membeli lima keping tiket yang setiap satunya berharga RM38.

"Saya percaya dengan kata-kata dia yang tiket itu tulen dan tanpa usul periksa saya membelinya dengan harga yang agak mahal sedikit.

"Bila pulang dan diteliti timbul banyak keraguan kerana tiket itu tidak sama dengan kualiti tiket yang diperolehi rakan saya yang lain dan sebab itu saya hubungi Kafa untuk pengesahan," katanya.

Zamzuri yang kecewa kerana ditipu bagaimanapun akan tetap ke Bukit Jalil malam ini dan berharap tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir itu masih lagi dijual.

Sementara itu, semua pemain Kelantan dan pegawai Kafa berlepas ke ibu negara pada pukul 9.15 pagi ini.

Sebilangan kecil penyokong dilihat turut berada di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa bagi mengucapkan selamat berjaya pada perlawanan akhir Sabtu.

Artikel Lain