suria

Aktiviti Jual Mercun Gunakan Samaran Gudang Baran Lusuh Dipatah

PELABUHAN KLANG: Kastam Selangor berjaya mematahkan kegiatan menjual mercun yang berselindung di sebalik operasi sebuah gudang barang lusuh di Kuala Selangor, semalam.

Pengarah Kastam Negeri Datuk Roslan Yusof memberitahu sidang akhbar di sini hari ini sepasukan pegawai penguatkuasa yang membuat serbuan ke atas gudang itu pada pukul 10.15 pagi menemui sejumlah mercun papan dalam sebuah lori tiga tan yang digunakan untuk mengangkut sisa pepejal.

Mercun itu dimuatkan dalam kotak dan ditutup dengan kanvas bagi mengaburi pihak berkuasa.

Pihak kastam menahan lori itu semasa ia sedang bergerak dari kawasan gudang seluas 0.4 ha itu, dipercayai menuju ke tempat penghantaran, katanya.

Beliau berkata pasukan itu seterusnya melakukan pemeriksaan di kawasan kabin pekerja dan menemui sejumlah lagi mercun dan bunga api pelbagai jenama dan jenis manakala beberapa album yang digunakan sebagai katalog untuk memesan mercun dan beberapa keping invois dijumpai di pejabat gudang itu.

Roslan berkata, jumlah keseluruhan mercun dan bunga api yang dijumpai ialah sebanyak 133 kotak bernilai RM172,395 dan cukai terlibat sebanyak RM112,056.75".

Beliau berkata berdasarkan invois yang diperolehi, kegiatan mereka ini dipercayai bermula sejak Jun lepas dan transaksinya nampaknya lumayan melibatkan puluhan ribu ringgit.

"Invois yang ditemui mencatatkan transaksi bernilai di antara RM10,000 hingga RM70,000," katanya.

Pihaknya menahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, lima lelaki warga Malaysia berusia di antara 19 hingga 51 tahun bagi membantu siasatan, katanya.

Beliau berkata pihak kastam juga sedang mencari seorang lelaki yang dipercayai pemilik gudang itu, K.Gunasegaran, 34 yang alamat terakhirnya di Seri Penambang, Tanjung Karang bagi membantu siasatan.

Roslan berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 (semakan 1980) iaitu menyimpan atau memiliki dagangan belum lulus kastam.

Jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain