suria

700 Petugas BN Dapat Tiket Ke Bukit Jalil Saksi Perlawanan Akhir Piala Malaysia

GUA MUSANG: Tujuh ratus petugas peti undi Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas mendapat suntikan moral apabila diberi tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada Sabtu.

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata pemberian tiket khas buat petugas peti undi itu bertujuan meningkatkan semangat mereka yang sebelum ini kecewa kerana tidak dapat membeli tiket untuk menyaksikan pertembungan tersebut.

"Kami sediakan 17 buah bas untuk membawa mereka ke Kuala Lumpur. Mereka ini diberikan sehari cuti dan akan terus dibawa pulang sebaik perlawanan berakhir.

"Ini bukan untuk membeli undi. Pemberian itu tidak bersyarat. kami memberinya kepada petugas kami, petugas parti. Hanya untuk mereka. Tiada syarat...yang dapat hanya mereka yang berdaftar sebagai pekerja parti di kawasan peti undi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pertandingan futsal 1Belia 1Malaysia di gelanggang futsal RPT Sungai Terah, di sini, Jumaat.

Perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pukul 8.45 malam Sabtu. Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi kerusi Galas berkata setakat ini gerak kerja kempen yang dilakukan menunjukkan tanda positif walaupun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki segera sebelum hari pengundian.

"Nak kata puas hati, tak puas hati...(hanya) puas hati apabila menang. Tapi saya rasa perlu kita tingkatkan lagi gerak kerja. Ada di sesetengah tempat lemah di sesuatu bidang, itu kita cuba perbaiki," katanya.

Mengenai kempen PAS yang dilihat lebih menumpukan kepada pengundi Cina, beliau berkata gerak kerja kempen BN juga tidak akan dipengaruhi oleh strategi tersebut.

"Tak apa la...barangkali dia nak tarik pengundi Cina lebih. Itu dia punya hak dan harap dia berjaya, dan kita harap kita lebih berjaya," katanya.

Pilihan Raya Kecil DUN Galas pada 4 November ini akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Abdul Aziz Yusoff dan Dr Zulkefli Mohamed daripada PAS. - BERNAMA

Artikel Lain