suria

Samy Vellu Harap Ahli Perniagaan Malaysia Diberi Lebih Banyak Peluang Laksanakan Projek Di India

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu berharap ahli perniagaan Malaysia diberi lebih banyak peluang oleh kerajaan India untuk mengambil bahagian dalam projek pembangunan infrastruktur di negara berkenaan.

Bercakap kepada pemberita pada Khamis selepas mengunjungi Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh yang dalam rangka lawatan rasmi ke negara ini, Samy Vellu berkata beliau mengambil peluang itu untuk memohon kerjasama perdagangan dan pelaburan yang lebih besar antara kedua-dua negara.

Beliau berkata sejak 10 tahun lepas, ahli perniagaan Malaysia melaksanakan peranan penting dalam pembangunan infrastruktur di India, menyiapkan projek bernilai kira-kira US$20 bilion, namun perangkaan itu menurun sejak akhir-akhir ini.

"Kami membuat permohonan supaya kami boleh menghantar lebih ramai kontraktor untuk menyertai lebih banyak tender yang dikeluarkan oleh kerajaan India," kata bekas Menteri Kerja Raya itu.

Dalam kunjungan itu, Samy Vellu diiringi oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, Timbalan Presiden MIC Datuk G.

Palanivel, dua Naib Presiden iaitu Datuk S.K. dan Datuk M. Saravanan serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah.

Pada Rabu, Dr Manmohan berkata India, yang merancang untuk meningkatkan sasaran pelaburan dalam projek infrastruktur kepada US$1 trilion, mengalu-alukan penyertaan yang lebih besar dari Malaysia berikutan kekuatan Malaysia dalam sektor berkenaan.

Samy Vellu berkata beliau mengunjungi India lima kali dalam dua bulan lepas, dan menyifatkan sebagai "tanggungjawab negara" dalam usahanya untuk berbincang dengan kerajaan India dan menyediakan asas untuk membuka lebih banyak peluang untuk diteroka oleh ahli perniagaan Malaysia di India.

"Saya percaya perbincangan ini akan membawa banyak manfaat di masa depan. Kami juga berharap dapat mengambil bahagian dalam aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada negara," katanya.

Samy Vellu berkata beliau turut memohon kepada Dr Manmohan supaya menimbangkan untuk melonggarkan peraturan visa kepada ahli perniagaan Malaysia yang melakukan perjalanan ke India memandangkan visa dua bulan sekarang tidak mencukupi.

Sementara itu, Dr S. Subramaniam memberitahu pemberita pada masa ini terdapat kira-kira 45,000 warga India bekerja secara sah di Malaysia, sebahagian besar daripadanya dalam industri perkhidmatan, pembinaan, pertanian, perladangan dan pengeluaran, manakala jumlah yang agak besar daripada mereka juga bekerja sebagai profesional, misalnya dalam industri teknologi maklumat.

"Kami juga bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk melihat bagaimana kami dapat mempermudahkan kedatangan lebih ramai profesional dalam industri IT dari India untuk bekerja di sini, dan membantu memperkukuhkan industri IT kami," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain