suria

Perbicaraan Kes Liwat Anwar: Tiada Ujian Dijalankan Untuk Mengesahkan Penggunaan Pelincir

KUALA LUMPUR: Seorang pakar bedah umum memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis bahawa pelincir telah digunakan dalam hubungan seks yang didakwa berlaku, tetapi tiada ujian dibuat untuk mengesahkannya.

Dr Mohd Razali Ibrahim dari Hospital Kuala Lumpur berkata beliau menyedari tentang penggunaan pelincir seperti yang dinyatakan dalam rekod perubatan yang disediakan Pakar Penjagaan Kecemasan Dr Khairul Nizam Hassan yang menjalankan pemeriksaan fizikal dan ahli patologi forensik Dr Siew Sheue Feng, yang meyediakan nota klinikal.

Dr Khairul Nizam dan Dr Siew menyediakan rekod perubatan berkenaan setelah mereka membuat pemeriksaan terhadap pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan pada malam 28 Jun, 2008.

Apabila disoal balas oleh peguam S. N. Nair, yang mewakili Anwar sama ada beliau menjalankan ujian untuk mengesahkan kehadiran pelincir dalam dubur Mohd Saiful, Dr Mohd Razali berkata beliau tidak meminta agar ujian itu dijalankan.

Ditanya tentang peranan penting pelincir dalam kes liwat, Dr Mohd Razali berkata sekiranya bahan itu digunakan, kecederaan tidak berlaku pada dubur.

Saksi kedua pihak pendakwa ini memberitahu mahkamah bahawa Mohd Saiful memaklumkan bahawa dia tidak membuang air besar selama dua hari selepas kejadian yang didakwa berlaku pada 26 Jun, 2008 itu.

Ditanya tentang tabiat usus Mohd Saiful, dan sama ada penting bagi seseorang doktor bertanya mengenainya kepada mangsa dalam kes liwat, Dr Mohd Razali berkata ia bergantung pada keadaan.

Kata beliau pada masa berkenaan, pemeriksaan terhadap Mohd Saiful dibuat berdasarkan dakwaannya dia telah diliwat untuk mengetahui sama ada berlaku sebarang kecederaan.

Menjawab soalan sama ada beliau bertanya kepada Mohd Saiful adakah dia berasa sakit di bahagian dubur sebelum beliau (Dr Mohd Razali) membuat pemeriksaan terhadapnya, pakar bedah itu berkata beliau tidak dapat mengingati sama ada beliau ada bertanya tentang perkara itu.

Dr Mohd Razali bagaimanapun berkata sebelum membuat pemeriksaan perubatan, beliau menerangkan kepada Mohd Saiful tentang prosedur berkenaan dan selepas itu, barulah beliau mula membuat pemeriksaan terhadap dubur pengadu.

Ditanya tentang kedudukan tubuh Mohd Saiful semasa menjalani pemeriksaan itu, Dr Mohd Razali berkata beliau meminta pengadu berbaring secara mengiring dengan bahagian kiri tubuhnya di sebelah bawah dan merapatkan kedua-dua lututnya pada bahagian dada untuk memudahkan pemeriksaan dilakukan.

Ditanya tentang garis panduan yang digunakan dalam amalan perubatan di hospital itu, Dr Mohd Razali berkata ia merupakan prosedur standard yang diamalkan oleh kebanyakan hospital sejak bertahun-tahun lepas.

Bagaimanapun, pakar bedah itu berkata beliau tidak pasti sama ada ia merupakan garis panduan antarabangsa.

Ketika memberi keterangan tentang cara beliau melakukan pemeriksaan terhadap Mohd Saiful, Dr Mohd Razali berkata beliau terlebih dahulu membuat pemeriksaan perianal sebelum membuat beberapa palitan dan memasukkan protoskop ke dalam dubur Mohd Saiful untuk mendapatkan dua sampel daripada bahagian atas dan bawah rektum pengadu.

Katanya protoskop berukuran 6.5cm panjang itu dimasukkan hanya sekali ke dalam dubur Mohd Saiful.

Dr Mohd Razali memberi keterangan itu pada perbicaraan Anwar yang dituduh meliwat Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Ditanya sama ada Mohd Saiful memberitahu beliau bahawa pakar perubatan di Pusrawi juga telah menggunakan protoskop ketika mereka melakukan pemeriksaan terhadapnya, Dr Mohd Razali berkata pengadu tidak memaklumkan perkara itu kepadanya.

Ditanya kenapa beliau tidak menggunakan jari untuk membuat pemeriksaan itu, Dr Mohd Razali berkata sekiranya beliau berbuat demikian, kecederaan akan berlaku.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah disambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain