suria

PAS Kelantan Abai Orang Asli

GUA MUSANG: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan PAS Kelantan mengabaikan tanggungjawab terhadap kepentingan masyarakat Orang Asli khususnya berkaitan isu pemilikan dan pencerobohan tanah.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu-isu berkenaan membuktikan kerajaan PAS Kelantan dibawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz tidak memberi perhatian mengenai isu rakyat.

"Nampaknya waktu berkempen ini, PAS tidak memfokuskan pada masalah besar yang dihadapi oleh rakyat tempatan, sepatutnya isu itu (masalah tanah) dijelaskan.

"Tapi kalau dia tak dapat jelaskan, bermakna terbukti bahawa masalah rakyat tidak diberikan perhatian," katanya kepada media selepas menghadiri program Mesra Minda Bersama Masyarakat Orang Asli di Pos Brooke, di sini, Rabu.

Jelas Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, masalah tanah termasuk yang berhubung kait dengan pampasan dan pencerobohan sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan negeri.

"Ya isu (tanah) ini besar, saya ingin jelaskan bahawa masalah ini ialah masalah (kerajaan) negeri, kita nak jelaskan masalah urusan-urusan tanah seperti pengambilan tanah tanpa membayar pampasan, ladang rakyat ataupun pencerobohan dengan berleluasa adalah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Saya harap pengundi faham bahawa masalah ini harus ditangani diperingkat negeri," katanya.

Selain itu tambah Muhyiddin, tindakan PAS membangkitkan isu-isu nasional semasa kempennya membuktikan bahawa kerajaan negeri cuba mengalih perhatian rakyat terhadap masalah rakyat tempatan.

"Dalam konteks BN (Barisan Nasional ), rakyat didahulukan, tapi PAS rakyat dikemudiankan, dia lebih berminat untuk membicarakan soal nasional sedangkan isu tempatan tak diberi tumpuan dan perhatian," katanya.

Tambahnya, masalah tanah Orang Asli itu akan menjadi antara tugas utama calon BN Ab Aziz Yusoff sekiranya menang pada pilihan raya kecil bagi kerusi Galas pada 4 November ini.

"Ini semua sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan negeri, tapi kita dengar perkara-perkara yang dibangkitkan dan saya percaya kalau BN dipilih menjadi wakil, dia (Ab Aziz) akan sampaikan perkara itu (kepada kerajaan negeri)," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain