suria

Najib Tiba Di Hanoi Untuk Hadiri Sidang Kemuncak Asean

HANOI: Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini awal pagi ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula pada Khamis.

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai kira-kira 1.15 pagi (2.15 pagi waktu Malaysia).

Ketibaan Najib dan isteri disambut oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot, Duta Malaysia ke Vietnam, Datuk Lim Kim Eng dan Timbalan Ketua Protokol Vietnam, Tran Thanh Cong.

Dalam Sidang Kemuncak Asean, beliau dan rakan-rakan akan bertukar-tukar fikiran mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan Asean seperti kesalinghubungan Asean, pemulihan dan pembangunan mapan, keselamatan makanan dan tenaga, perubahan iklim, bantuan bencana, penyakit berjangkit dan arkitektur serantau.

Antara agenda utama Sidang Kemuncak Asean pula ialah cadangan oleh Menteri Luar Asean kepada pemimpin Asean untuk menjemput secara rasmi Amerika Syarikat dan Rusia bagi menyertai EAS pada 2011.

Para pemimpin Asean turut dijangka menerima tiga dokumen iaitu Pelan Induk Kesalinghubungan Asean, Kenyataan Pemimpin Asean mengenai Pembangunan Sumber Manusia dan Kemahiran untuk Pemulihan Ekonomi dan Pembangunan Mapan serta Deklrasi Hanoi mengenai Meningkatkan Pembangunan Kebajikan Wanita dan Kanak-kanak Asean. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain