suria

N45 Galas: PAS Semakin Diterima Masyarakat Cina

GUA MUSANG: PAS meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa lebih daripada 80 peratus pengundi Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan memberi sokongan kepada calonnya, Dr Zulkefli Mohamed dalam pilihan raya kecil, 4 November ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata, sokongan itu kian ketara apabila masyarakat Cina dilihat semakin menerima pendekatan yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang lebih 'lembut' terhadap kelompok berkenaan.

Jelas beliau, sebelum ini masyarakat Cina lebih yakin dengan kaedah yang digunakan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz berbanding Abdul Hadi kerana terlalu agresif.

"Sebelum ini orang Cina hanya terima konsep kepimpinan Tok Guru Nik Aziz, Abdul Hadi tak berapa diterima.

"Tapi sekarang ini satu perkara mengejutkan ialah orang Cina sudah terima Abdul Hadi, mungkin kerana sudah lihat beliau tak agresif seperti dulu, pendekataannya kini diterima... dulu pendekatan lain," katanya ketika ditemui di markas PAS di sini, Khamis.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku itu, perubahan dasar dan pendekatan yang digunakan Abdul Hadi pada masa ini berjaya meraih sokongan masyarakat bukan Melayu terhadap PAS.

"Nampaknya Abdul Hadi terpaksa akur bahawa kaedah dahulu tak berkesan, jelas sekali Tok Guru Nik Aziz lebih mendahului daripada pimpinan lain dari segi pendekatan terhadap kaum-kaum lain," katanya.

Selain itu jelas beliau, penerimaan pengundi bukan Cina secara keseluruhan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat juga telah mempengaruhi sokongan terhadap PAS.

"Sokongan makin bertambah, kalau dulu 80 peratus (sokongan), sekarang dah meningkat sebab penerimaan orang Cina terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat cukup memberansangkan, kita juga tak ada masalah dengan pengundi Cina," katanya.

DUN Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, 7,125 orang (61.63 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (2,317), India (185), Bumiputera Sarawak (10), Orang Asli (1,889) dan lain-lain (27).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain