suria

N45 Galas: Kaum Cina Kecewa Dengan PAS

GUA MUSANG: Penduduk Cina di Gua Musang kecewa dengan sikap kerajaan PAS Kelantan kerana didakwa gagal menyelesaikan isu hak milik tanah dan kemudahan asas di kawasan berkenaan walaupun sudah mentadbir negeri berkenaan selama 20 tahun.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, menerusi maklum balas yang diterima pihaknya, masalah pemilikan tanah merupakan isu terbesar yang menjadi perhatian masyarakat setempat termasuk masyarakat Cina.

"Selepas hari penamaan calon, pemimpin MCA sama ada di peringkat Pusat dan bahagian turun padang, maklum balas yang kami terima ialah mereka tak puas hati dengan kepimpinan PAS.

"Selain itu mereka juga faham bahawa soal permohonan tanah, (kaum Cina) diperalatkan demi kepentingan politik mereka, banyak permohonan sudah terbiar, tertinggal semenjak mereka mengambil-alih pentadbiran sejak 20 tahun dahulu," katanya ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari bersama pengundi di sini, Khamis.

Selain itu, mengulas mengenai tahap sokongan pengundi Cina terhadap BN, Chua berkata beliau yakin masyarakat Cina di sini khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas akan menzahirkan sokongan mereka terhadap Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil pada 4 November depan.

"Kami lebih yakin dengan sokongan masyarakat Tiong Hua di Gua Musang, masyarakat di sini mengadu kepada kami bahawa perkara paling ketara di bandar Gua Musang ini ialah tak ada apa-apa perubahan khususnya dari segi kemudahan penting, sebagai contoh pusat penjaja di sini tak ada tandas," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, walaupun pemimpin peringkat Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah daripada BN, namun usahanya membangunkan kawasan berkenaan terbatas kerana isu tanah melibatkan kerajaan negeri.

"Yang penting rakyat faham bahawa wakil rakyat peringkat Parlimen, Tengku Razaleigh telah berusaha untuk membangunkan kawasan ini, tapi kerana pembangunan melibatkan banyak tanah kerajaan negeri, maka ruang untuk beliau bangunkan kawasan ini adalah terhad," katanya.

Berhubung kemampuan BN meraih sokongan pengundi 'atas pagar' Dr Chua berkata sudah menjadi tugas jentera BN untuk memujuk kelompok berkenaan agar memberi sokongan dan kepercayaan kepada parti itu.

"Dalam mana-mana negara demokratik, mesti ada lebih kurang 30 peratus pengundi 'atas pagar', di mana-mana sahaja. Itu menjadi tugas kita untuk pujuk mereka supaya jangan duduk 'atas pagar'.

"Dalam negara demokrasi, (pilihan) sama ada anda bangkang ataupun sokong, 'atas pagar' hanya jadi undi rosak," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain