suria

Hospital Shah Alam Dijangka Siap 30 Bulan Lagi

KUALA LUMPUR: Hospital Shah Alam dijangka siap dalam tempoh 30 bulan lagi apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) melantik kontraktor 'penyelamat' bagi meneruskan baki pembinaan yang terbengkalai sejak Ogos lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, kontraktor utama projek telah ditamatkan menerusi Notis Penamatan Kontrak pada 3 September lalu.

“Sehingga tarikh itu, kemajuan di tapak pembinaan adalah 27 peratus berbanding 38.9 peratus mengikut jadual dan jumlah bayaran terbabit sebanyak RM139.9 juta.

“JKR dalam proses memanggil tender baru bagi melantik kontraktor penyelamat berikutan kelewatan pelaksanaan projek 62 hari,” katanya menjawab soalan lisan Khalid Samad (PAS – Shah Alam) pada sidang Dewan Rakyat, Khamis.

Khalid dalam soalan asalnya meminta menteri bertanggungjawab menyatakan status pelaksanaan projek pembinaan Hospital Shah Alam dan adakah benar bahawa kontraktor baru telah dilantik melalui proses rundingan terus untuk menggantikan syarikat Sunshine Fleet Sdn Bhd.

Sementara itu, Khalid dalam soalan tambahan mencadangkan satu akta diwujudkan dalam perjanjian antara Kementerian Kerja Raya dengan syarikat kontraktor bagi membolehkan JKR mengambil alih projek yang gagal disiapkan kontraktor dilantik.

Katanya, JKR seharusnya boleh mengambil alih projek yang terbengkalai kerana mereka mempunyai tenaga kerja mahir.

"Saya harap ada satu akta dalam perjanjian iaitu Kementerian Kerja Raya dengan JKR boleh ambil alih kontrak yang gagal supaya boleh menyiapkan projek dalam tempoh singkat dan kos berpatutan," katanya.

Beliau mempersoalkan tidak adakah perjanjian yang memberikan kuasa kepada Kementerian untuk ambil alih, bertindak cepat supaya tiada lagi kes tertunggak.

"Menteri kata kerja berhenti sejak Ogos tapi bila saya pergi ke tapak pembinaan, kerja sudah berhenti sejak Jun. Menteri kata 30 bulan kena tunggu untuk diselesaikan

“Rakyat Shah Alam terpaksa menunggu 30 bulan lagi untuk mendapat hospital yang dinantikan sedangkan pembinaan itu sepatutnya siap paling lewat Jun tahun depan,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain