suria

Ab Aziz Janji Wakili Rakyat Semua Kaum

GUA MUSANG: Calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff berjanji akan menjadi wakil rakyat kepada semua kaum jika dipilih pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan pada 4 November depan.

Beliau berkata, penduduk di DUN Galas yang terdiri daripada kelompok pelbagai kaum jelas sekali menggambarkan konsep masyarakat gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh BN.

"Jika dipilih sebagai calon, insya-Allah saya akan beri khidmat yang terbaik kepada masyarakat di sini.

"Saya akan jadi wakil rakyat untuk semua kaum di sini, tak kira sama ada Melayu, India, Cina ataupun Orang Asli...DUN Galas menggambarkan konsep 1Malaysia," katanya ketika ditemui semasa melawat ke Pasar Besar di sini, Khamis.

Turut sama dalam lawatan itu ialah Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN DUN Galas yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Berhubung maklum balas pengundi terhadapnya selepas masuk hari ketiga berkempen, Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang itu berkata, hingga kini beliau mendapat sambutan yang baik daripada penduduk setempat.

"Alhamdulillah sambutan yang saya terima sangat baik, bagaimanapun saya perlu menggandakan lagi usaha untuk bertemu pengundi seramai yang mungkin.

"Namun masih terlalu awal untuk saya buat perkiraan dalam tempoh tiga hari, saya pun masih belum jumpa sebahagian besar pengundi... namun sambutanya sangat baik," katanya.

Ditanya bagaimana beliau akan menyelesaikan masalah tanah yang dihadapi oleh penduduk setempat khususnya masyarakat Orang Asli, Ab Aziz berkata: "Tunggu selepas saya dipilih saya akan lakukan apa yang terbaik."

Pilihan raya kecil DUN Galas menyaksikan saingan dua penjuru antara Ab Aziz dan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain