suria

Tiada Diskriminasi Ke Atas SJKC, SJKT - Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah mengamalkan diskriminasi ke atas mana-mana Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) atau Tamil (SJKT) termasuk menutup sekolah-sekolah terbabit, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

"Bahkan ada SJKT yang tinggal satu murid pun kita tidak tutup, sebab itu jangan buat tuduhan melulu dan malah ada sekolah yang kita tutup dan dipindahkan tapi dimohon untuk dibuka semula, kita buka semula," katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.

Beliau yang menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) juga berkata pada Bajet 2011, kerajaan memperuntukkan RM250 juta kepada sekolah bantuan modal termasuk SJKC dan SJKT selain peruntukan RM2,000 sebulan untuk bayaran bil utiliti.

"Bagaimana boleh kata kita diskriminasi, sedangkan banyak lagi sekolah-sekolah kebangsaan yang menghadapi masalah di pedalaman seperti sekolah banjir, sekolah menumpang, ini juga perlu diberi perhatian," katanya.

Terdahulu menjawab soalan asal Nga yang ingin tahu status terkini perpindahan dan pembinaan 19 buah SJKC yang diumumkan pada 2008, beliau berkata perpindahan dua buah sekolah telah siap dan mula beroperasi tahun ini, iaitu di Taman Impian Emas dan Setia Eco Gardens, Johor Baharu Sementara perpindahan tujuh buah SJKC lagi telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan dan dalam proses pembinaan.

Selebihnya, dalam proses membuat perolehan tanah, penyediaan pelan bangunan, atau mengemukakan permohonan kebenaran merancang untuk kelulusan oleh pihak berkuasa tempatan, kata Mohd Puad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain