suria

Pegawai Imigresen Mengaku Tidak Bersalah Atas Tuduhan Rasuah

SEREMBAN: Seorang pegawai Imigresen Port Dickson mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga tuduhan rasuah membabitkan suapan RM66,950 pada Rabu.

Mohd Yusof Bahari, 54, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu minta dibicarakan.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan RM80 bagi setiap warga Indonesia yang mahu bolos pemeriksaan imigresen tanpa diperiksa daripada seorang lelaki di sebuah restoran berhampiran Hotel Suria, Port Dickson pada 7.30 malam, 20 Julai lepas.

Bagi tuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah RM41,110 daripada orang tengah untuk melepaskan warga Indonesia yang juga penumpang feri Rasa Rindu 2 antara 20 Julai hingga 6 Sept lepas.

Dan tuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima RM25,840 daripada seorang lelaki bernama Mohamad Shariman Sharuddin untuk menghalang warga Indonesia balik ke negara mereka walaupun memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Mohd Yusof didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau lima kali jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Sabariah Atan membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes itu pada 1 Disember depan.

Terdahulu Ketua Pendakwa SPRM Datuk Abdul Razak Musa memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM30,000 kerana mendakwa pertuduhan yang dihadapi Mohd Yusof adalah sangat berat dan kes ini mempunyai kepentingan umum.

Bagaimanapun, peguambela tertuduh Raftfizi Zainal Abidin memohon wang jaminan itu dikurangkan memandangkan tertuduh mempunyai gaji bersih yang agak kecil iaitu RM2,300 sebulan dan isterinya yang berusia 47 tahun pula tidak bekerja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain