suria

Nasib Bapa Syafiah Humaira Diketahui 26 November

SHAH ALAM: Nasib Konstabel Sahari Usul, iaitu bapa kepada kanak-kanak yang mati dibunuh di padang bola, Syafiah Humaira akan diketahui di Mahkamah Tinggi di sini pada 26 November depan.

Pada tarikh itu, Hakim Dr Badariah Sahamid akan memberikan keputusannya terhadap Sahari, 33, dan dua lagi anggota polis yang didakwa bersamanya atas tuduhan membunuh seorang mekanik warga Indonesia, lima tahun lalu.

Mereka yang turut dituduh ialah Koperal Ailias Yahaya, 56, dan Konstabel Saiful Azlan Shah Abdullah, 46, yang pernah berkhidmat di Balai Polis Sungai Plong, dekat sini. Sahari pula bertugas di Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya, dekat sini.

Keputusan di peringkat akhir pendakwaan itu akan menentukan sama ada tertuduh perlu membela diri atas tuduhan yang dihadapi ataupun dibebaskan jika pihak pendakwaan didapati gagal menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa membunuh Yusrizal Yusof, 38, di Ladang Caledonia, Kilometer 22, Jalan Kuala Lumpur – Kuala Selangor, Batu Arang, dekat sini, antara pukul 10 dan 11 malam, 13 Januari 2006.

Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam telah mengemukakan 35 saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.

Semasa kes disebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 Februari 2006, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama bekas pengawal keselamatan, Alias Mohamad Isa dan penjual kereta terpakai, Sulaiman Mohamad.

Bagaimanapun, Alias, 53 dan Sulaiman, 40, telah dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM500 oleh mahkamah sama, pada 18 Julai 2006 selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Manakala, pertuduhan asal dikekalkan terhadap Sahari, Ailias dan Saiful Azlan Shah selepas mereka mengaku tidak bersalah.

Laporan media pada 20 Januari 2006 melaporkan mayat seorang lelaki dipercayai warga Indonesia ditemui dengan kesan tembakan di kepala di Ladang Caledonia, kira-kira 200 meter dari Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor, 14 Januari lalu.

Mangsa diitemui oleh seorang wanita yang melalui ladang berkenaan untuk memetik bunga pada jam 9.20 pagi sebelum melaporkannya kepada polis yang kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa terbaring dan berlumuran darah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain