suria

Ketua Juruwang Bank Didakwa Curi RM910,000

GEORGE TOWN: Seorang ketua juruwang Public Bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pulau Pinang pada Rabu atas tuduhan mencuri RM910,000 milik bank itu pada 18 Oktober lepas.

Mohd Nasir Ismail, 46, berasal dari Sungai Petani, Kedah, dituduh mencuri wang itu di Public Bank, Lebuh Bishop di sini pada 7.10 petang, 18 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Pang Chun Keat memohon agar mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun peguam bela Mohd Nasir, R.S.N Rayer memohon supaya mengurangkan jumlah itu kepada RM5,000 memandangkan tertuduh mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah dan menjaga ayah yang telah uzur.

Majistret Nooraini Yusof membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Nov ini untuk sebutan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain