suria

Jangan Abai Pengundi Atas Pagar

GUA MUSANG: Sokongan pengundi 'atas pagar' perlu diberi perhatian serius kerana dilihat boleh memberi kesan besar dalam menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan 4 November ini.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, jentera sayap itu akan meningkatkan usaha bagi menarik sokongan pengundi atas pagar di kalangan pengundi muda terhadap BN.

"Kita akan pertingkat usaha untuk menawan hati pengundi ini, mereka sangat penting dalam memastikan kemenangan, secara keseluruhan kita terus jalankan kempen.

"Kita juga sudah berjumpa beberapa kumpulan kecil pengundi antaranya di hospital, melawat peti undi, singgah di kedai kopi dan sebagainya kerana ia lebih memberi impak berbanding ceramah besar-besaran,” katanya ketika ditemui selepas melawat pesakit di Hospital Gua Musang di sini, Rabu.

Sementara itu diminta mengulas mengenai strategi yang digunakan pembangkang iaitu dengan membangkitkan isu-isu nasional berbanding isu setempat, Ahli Parlimen Rembau itu berkata perkara itu jelas menunjukkan PAS kekeringan isu sehingga bertindak memperbesar-besarkan isu yang sepatutnya tidak wudud dalam kempen pilihan raya kecil ini.

"Saya tengok pembangkang ketandusan isu, ceramah yang diadakan pihaknya semalam juga dilihat menyebut isu-isu yang sengaja diperbesarkan seperti Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) tidak masuk ke dalam dewan penamaan calon, mereka cuba gambarkan seolah-olah ada keretakan dalam Umno Gua Musang.

“Selain itu dakwaan pihak tertentu yang mengatakan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gua Musang, Bazlan Baharuddin cuba mensabotaj calon dan kempen pilihan raya kecil ini juga adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Pada pilihan raya DUN Galas, BN menurunkan Ab Aziz Yusof, 49, yang akan menentang calon PAS Dr Zulkefli Mohamad, 44.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain