suria

India Yakin Sistem Di Malaysia Mampu Tangani Sebarang Masalah

PUTRAJAYA: India yakin sistem yang diamalkan oleh Malaysia berupaya dan mempunyai fleksibiliti untuk menangani sebarang masalah berhubung masyarakat India di negara ini, kata Perdana Menterinya Dr Manmohan Singh.

Beliau berkata Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang mempunyai kepelbagaian budaya dan etnik, serta menghormati hak asasi manusia semua warganya.

"Saya yakin sistem di Malaysia mempunyai keupayaan dan fleksibiliti bagi menangani sebarang masalah yang anda (media) telah sebutkan.

"Justeru, saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk berasa khuatir mengenai nasib dan masa depan masyarakat India di negara yang hebat ini," katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di sini pada Rabu.

Dr Manmohan berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan India berhubung wujudnya perasaan bahawa masyarakat tersebut telah dipinggirkan dan sedang ditindas di negara ini.

Beliau yang diiringi isterinya, Gursharan Kaur sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke negara ini mulai semalam.

Lawatan beliau adalah sebagai membalas kunjungan Najib ke India pada Januari lepas. Sementara itu, Najib berkata isu berkenaan merupakan isu dalaman Malaysia dan kerajaan negara ini telah menanganinya dengan cara yang positif.

Beliau berkata tidak perlu baginya untuk mengulas mengenai perkara itu, dan ia juga bukanlah antara isu yang dibincangkan oleh kedua-dua negara.

"Ini adalah (soal) domestik semata-mata. Sebagaimana kita menghormati apa yang berlaku di India, India juga menghormati apa yang kita lakukan di negara ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain