suria

Gunung Berapi Meletus Dan Turunkan Hujan Abu Vulkano

YOGYAKARTA: Letusan Gunung Merapi petang tadi mula meragut korban dengan sekurang-kurangnya satu kematian, selain mencederakan sejumlah mangsa dengan luka melecur di muka dan badan.

Stesen televisyen swasta MetroTV menyiarkan gambar paramedik berusaha menyelamatkan bayi berusia sekitar tiga bulan dengan alat bantuan pernafasan.

"Keadaan pernafasan bayi ketika datang ke hospital memang sudah parah, diperkirakan memang sudah meninggal di perjalanan," kata Dr Sasongko yang bertugas di Hospital Umum Daerah Muntilan, Jawa Tengah.

Beliau berkata di hospital itu terdapat sembilan pesakit lain yang cedera akibat letusan gunung berapi tersebut.

Sementara itu, Hospital Panti Nugroho di Sleman, Yogyakarta turut merawat beberapa pesakit yang cedera akibat melecur.

Dari gambar yang ditampilkan, kelihatan pesakit melecur di seluruh tubuh hingga ke muka.

Suasana di sekitar Merapi masih mencengkam, dan proses pemindahan penduduk masih dilakukan.

Ketua Kampung Desa Kepuharjo yang terletak di Cangkringan, Sleman iaitu Heri Suprapto berkata seluruh penduduk di desanya yang berjumlah ribuan orang, telah ditempatkan di kawasan lapang di sebuah desa lain.

Ketika dihubungi Bernama menerusi telefon, beliau sedang menguruskan pemindahan penduduk.

"Pada masa ini, hujan abu masih sangat lebat sehingga warga berbondong-bondong menuju ke tempat yang lebih selamat melalui laluan pemindahan yang ditetapkan," katanya.

Penulis sendiri yang memandu ke Yogyakarta telah mengalami hujan abu Merapi bila memasuki Gombong Timur, Jawa Tengah kira-kira 200 kilometer ke gunung berapi itu.

Kereta penulis yang diselimuti abu putih terpaksa berhenti di stesen minyak untuk membersihkan cermin kereta yang menutup pandangan pemandu dari dalam kenderaan.

Udara berdebu yang berbau belerang agak busuk, menyucuk hidung sehingga memerlukan orang ramai memakai topeng muka.

Sebuah bas ekspres kelihatan terpaksa berhenti di tengah jalan kerana cermin depannya turut diselaputi abu putih sehingga menutup pandangan pemandu.

Sementara itu, pengarah Jabatan Penuntut Malaysia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar, pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia, membantu memindahkan seramai 34 pelajar Malaysia dari sebuah pesantren di Magelang ke Solo.

Sebanyak tiga mukim di daerah Sleman yang mempunyai kira-kira 13,500 penduduk, diancam bahaya selepas Gunung Merapi meletus.

Namun, jika dilihat kesan hujan abu gunung berapi yang menjangkau 200 kilometer, jumlah penduduk yang diancam bahaya adalah jauh lebih besar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain