suria

BN Sedia Jawab Sebarang Isu Dimainkan Pembangkang

SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) sedia menjawab segala isu yang dibangkit oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP)dalam kempen pilihan raya kecil Batu Sapi menjelang pengundian pada 4 Nov ini.

Pengerusi BN Batu Sapi Datuk Samsudin Yahya berkata BN sedar kedua-dua parti pembangkang itu yang meletakkan calon masing-masing menentang BN, akan memainkan isu-isu tempatan semasa berkempen.

"Kita sudah mempunyai jawapan bagi menangkis segala dakwaan mereka yang tidak berasas itu," katanya ketika ditemui selepas mengagihkan poster calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin, di Kampung Gas di sini pada Rabu.

Samsudin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sekong, berkata beliau yakin pengundi di Batu Sapi bijak membuat penilaian mengenai isu yang dimainkan oleh pembangkang.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Azizah Mohd Dun pula berkata soal kemiskinan dan ketiadaan kemudahan asas sengaja dibangkitkan oleh pembangkang bagi menanam kebencian rakyat kepada kerajaan BN.

"Mereka sebenarnya cuba memperbodohkan rakyat kerana mereka tahu kerajaan B Nadalah sebuah kerajaan terbaik dalam aspek membela rakyat," katanya.

Menteri Luar Datuk Anifah Aman pula berkata pembangkang cuma boleh mengkritik kerajaan tetapi tidak boleh membantu rakyat.

"Biarpun ada perkara-perkara yang belum dapat diselesaikan tetapi rakyat tahu tidak mungkin kita dapat perhatikan 100 peratus kehendak rakyat dilaksanakan dalam masa yang singkat," katanya ketika ditemui semasa mengiringi Tsen semasa berkempen di Bandar Ramai Ramai dekat sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain