suria

Ringgit Dijangka Terima Rangsangan Daripada Resolusi G-12

KUALA LUMPUR: Ringgit dan mata wang Asia dijangka terus meningkat dengan sentimen mendapat rangsangan daripada deklarasi Kumpulan 20 (G-20) di mesyuaratnya di Tokyo, Selasa.

Ketua penyelidikan runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata menteri-menteri G-20 berikrar untuk tidak menggunakan penurunan nilai mata wang kompetitif bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan membenarkan kuasa pasaran menentukan paras pertukaran asing.

"Ketika bank-bank pusat serantau mengelak daripada campur tangan untuk melemahkan mata wang mereka, kami meramalkan yen, yuan dan ringgit mengukuh sejajar," katanya dalam emel beliau kepada Bernama, Selasa. Beliau berkata ringgit dijangka kekal dalam aliran meningkat berbanding dolar AS berikutan potensi kadar faedah Malaysia mengukuh berbanding AS berikutan pelonggaran kuantitatif Rizab Persekutuan AS dan jangkaan ekonomi Malaysia mengatasi prestasi ekonomi AS dan Eropah.

"Ketika ini, kami menjangka kekuatan terkini komoditi (termasuk saham berkaitan komoditi seperti kaunter perladangan dan gas minyak) menjadi faktor yang paling kukuh memberi manfaat kepada ringgit.

"Ketika lebih ramai penganalisis menaikkan unjuran harga mereka bagi saham perladangan dan minyak sawit mentah, kami menjangkakan aliran masuk dana asing yang tinggi untuk melonjakkan lagi ringgit," katanya.

Harga MSM telahpun mencecah RM3,000 setonne meningkat ke paras penutup paling tinggi sejak 31 Julai, 2008, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain