suria

Premis DVD Cetak Rompak Sekali Lagi Diserbu

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua bulan, sebuah premis di Taman Tun Dr Ismail, Damansara sekali lagi diserbu pihak berkuasa semalam kerana menjual cakera padat digital (DVD) dan cakera padat video (VCD) cetak rompak.

Walaupun cuba mengaburi Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan modus operandi meletakkan hanya DVD dan VCD tulen di dalam premis, pihak berkuasa dapat mengesan perbuatan mereka yang menyembunyikan sejumlah DVD dan VCD cetak rompak di dalam sebuah van.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Kuala Lumpur, Othman Nawang berkata dalam serbuan 6.45 petang itu, pihaknya merampas 3,000 keping DVD dan VCD pelbagai judul bernilai kira-kira RM43,500 yang disembunyikan van itu.

"Hasil aduan orang ramai dan intipan kegiatan penjualan DVD dan VCD cetak rompak di premis itu, kita sekali lagi menyerbu sebuah premis dan memeriksa sebuah van Toyota Hiace yang dijadikan tempat penyimpanan stok.

"Sebelum ini mereka menggunakan taktik sama bagi mengaburi mata dengan menyimpan DVD dan VCD di dalam van itu yang diletakkan di laluan belakang premis, kira-kira 200 meter dari premis tersebut," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, pada Isnin.

Othman berkata tingkap van itu ditutup dengan langsir gelap dan di dalamnya diubah suai dan diletakkan rak-rak besar untuk menyimpan stok DVD dan VCD cetak rompak.

"Pelanggan datang ke premis dan meminta DVD atau VCD tajuk tertentu dengan menggunakan kod, kemudiannya baru pekerja premis akan mengambil stok di dalam van dengan menaiki motosikal," jelasnya.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang merupakan pekerja premis itu ditahan ketika berada di dalam van itu dan dia disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Othman berkata premis itu beroperasi selama dua tahun dan pihaknya kini sedang mengesan pemiliknya.

Serbuan pertama ke atas premis sama dilakukan pada 30 Ogos lepas di mana seorang pengarah dan seorang pekerja warga Myanmar ditahan dan dijadualkan dibicara pada 2 Nov ini. - BERNAMA

Artikel Lain