suria

Polis Peroleh Semula Sebahagian Daripada Wang Tunai RM1.5 Juta

GEORGE TOWN: Polis memperoleh semula baki RM860,000 daripada RM1.5 juta yang dilaporkan hilang dari sebuah bank di Lebuh Bishop di sini minggu lepas.

Wang itu dijumpai dalam sebuah beg boling di Sungai Petani, berikutan penahanan ketua juruwang dan pembantu pentadbiran bank itu untuk melancarkan siasatan kes kecurian itu.

Pembantu pentadbiran itu dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada 19 Oktober, pengurus bank berkenaan membuat laporan polis setelah mendapati RM1.5 juta hilang dari bilik kebal bank itu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, dalam laporan itu, pengurus bank itu berkata sebahagian daripada wang berjumlah RM590,000, dijumpai di tingkat atas dan bawah yang dijadikan bilik kebal bank.

"Berikutan laporan polis itu, kami menahan ketua juruwang dan pembantu pentadbiran untuk siasatan.

"Penahanan itu juga membawa kepada penemuan RM860,000 yang disimpan dalam sebuah beg boling di Sungai Petani," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ayub berkata polis berusaha untuk mendapatkan semula RM50,000, yang dipercayai telah pun dibelanjakan oleh salah seorang suspek. - BERNAMA

Artikel Lain