suria

Perbezaan Latar Pendidikan Tidak Jejas Calon BN Menang

GUA MUSANG: Perbezaan latar belakang pendidikan antara calon Barisan Nasional (BN) Abdul Aziz Yusoff dengan calon PAS Zulkefli Mohamed, diyakini tidak akan menjejaskan peluang BN untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Abdul Aziz, 49, mempunyai kelebihan tersendiri selaku anak tempatan dan telah lama berkhidmat dengan masyarakat di Gua Musang terutamanya kawasan Galas.

"Latar belakang pendidikan bukan isu sama sekali, rakyat kini lebih berfikiran terbuka dan mereka mahukan wakil rakyat yang mampu memberi perkhidmatan kepada mereka.

"Kalau calon itu berkelulusan tinggi dan mengamalkan bidang perubatan di kawasan lain, maka sudah tentu beliau tidak dapat beri perhatian kepada kawasan ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Gua Musang di sini, Selasa.

Sedangkan Abdul Aziz merupakan anak tempatan dan tinggal di sini selain pernah menjadi Pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sudah tentu perkhidmatan beliau kepada masyarakat dapat diteruskan kerana telah lama mempunyai jalinan rapat dengan masyarakat, kata Ahmad Zahid. Selain itu, katanya melalui calon BN, kerajaan akan dapat menyalurkan lebih banyak peruntukan untuk pembangunan kawasan dan membantu rakyat miskin di Galas yang kebanyakannya bekerja sebagai petani.

Pilihan Raya Kecil DUN Galas yang ditetapkan pada 4 Nov bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS.

BN diwakili Abdul Aziz manakala calon PAS ialah Dr Zulkefli, 44, Pemangku Yang Dipertua PAS kawasan Gua Musang yang bertugas sebagai pengamal perubatan di Ciku 3, iaitu kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang.

Ahmad Zahid turut melahirkan keyakinan mampu menawan kembali kawasan Galas berdasarkan kerjasama erat antara jentera parti bukan sahaja di peringkat pusat tetapi juga di peringkat negeri dan bahagian sendiri.

"Dengan kombinasi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (sebagai Pengarah Pilihan Raya BN/Umno DUN Galas) mencerminkan kekuatan ikatan hubungan dalaman parti di peringkat negeri sendiri.

"Tidak pernah sebelum ini Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri menjadi Timbalan Pengarah Pilihan Raya dan Pengarahnya Ketua Umno Bahagian (Tengku Razaleigh)... keadaan ini mencerminkan keterbukaan pimpinan pusat yang diterjemahkan di peringkat negeri, jadi saya yakin BN tidak akan masalah untuk menang," katanya. Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kempen parti itu untuk memenangi pilihan raya kecil DUN Galas bermula dengan keyakinan sebanyak 48 peratus.

Beliau mengulangi alasannya sebelum ini bahawa tindakan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Barisan Nasional (BN) dilihat satu cubaan merendahkan kedudukan Tengku Razaleigh sendiri.

"Kita sedar akan pengaruh besar yang ada pada Tengku Razaleigh tetapi sikap Barisan Nasional (BN) terhadapnya akan memberi sokongan kepada kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini, Selasa.

Hadi berkata, walaupun kempen bergerak pada keyakinan tersebut, beliau telah mengarahkan jentera parti dari seluruh negara termasuk dari Kelantan untuk membantu sepanjang kempen mengikut giliran yang telah ditetapkan sehingga hari pengundian.

Bagi Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, peluang Pas untuk menang adalah amat cerah berdasarkan personaliti calonnya yang komited terhadap parti serta telah lama mencurahkan bakti kepada penduduk setempat.

Beliau juga yakin dengan sokongan kaum Cina akan berpihak kepada Pas.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali berkata, parti itu akan memberikan sokongan sepenuhnya sepanjang kempen berdasarkan gerak kerja yang diputuskan Jawatankuasa Bersama membabitkan PAS, DAP PKR di mana tumpuan lebih diberikan kepada kubu kuat Umno dan BN.

"Berdasarkan pengalaman lalu, tumpuan seperti ini memberikan kesan yang positif dan dapat melonjakkan sokongan pada Pakatan Rakyat," katanya. BERNAMA

Artikel Lain