suria

Penamaan Calon Galas Bermula 9 Pagi Ini

GUA MUSANG: Proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang diadakan di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang mula dibuka pada pukul 9 pagi Selasa dan akan berakhir satu jam kemudian.

Selepas masa penyerahan borang pencalonan tamat pada pukul 10 pagi, proses bantahan dibuka selama satu jam sehingga pukul 11 pagi.

Pilihan raya kecil DUN Galas dijangka bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), PAS dan seorang calon Bebas.

Abdul Aziz Yusoff, 49, iaitu pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sebuah agensi pusat bertanggungjawab memacu pembangunan Hulu Kelantan, yang dirintis Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah ketika menjadi Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, Abdul Aziz yang juga Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang, perlu melepaskan jawatannya dalam Kesedar untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Anak kelahiran Kampung Bertam Baru, dekat Paloh di sini, mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat selepas menyertai Kesedar sejak 1983, dengan hanya berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia.

Ini merupakan kali pertama beliau dipilih bertanding di kawasan DUN, sekaligus menjadikan Abdul Aziz sebagai muka baru yang diberi mandat oleh kepimpinan Umno.

PAS pula meletakkan pengamal perubatan Dr Zulkefli Mohamad, 44, yang juga pemangku Yang Dipertua parti itu di Gua Musang, sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil 4 November itu.

Lulusan Universiti Malaya itu berkhidmat kepada masyarakat melalui kliniknya di Ciku 3, iaitu kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang.

Dr Zulkefli merupakan anak bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Guchil pada 1974, iaitu Mohamed Awang.

Berbeza dengan calon BN, beliau adalah muka lama yang berpengalaman dan pernah bertanding di Parlimen Gua Musang sebanyak dua kali, iaitu pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, namun tewas di tangan Tengku Razaleigh.

Biarpun pernah tewas, kepimpinan PAS ternyata mempunyai keyakinan kukuh terhadap calonnya itu kerana Dr Dzulkefli pernah mengalahkan Ketua Umno Gua Musang di DUN Galas pada 2008 dengan kelebihan 317 undi.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Che Sulaima, 46, dari PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 September lalu.

Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 27 Sept lepas.

DUN Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.

Katanya daripada jumlah itu, 7,125 orang (61.63 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (2,317), India (185), Bumiputera Sarawak (10), Orang Asli (1,889) dan lain-lain (27).

Sebanyak 11 buah sekolah, sebuah balai rawatan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan sebuah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang kesemuanya mengandungi 25 saluran tempat mengundi.

Artikel Lain