suria

N45 Galas: Bantahan PAS Gagal

GUA MUSANG: PAS membangkitkan isu status pekerjaan calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff dalam usaha menggagalkan pencalonan wakil parti itu pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan 4 November depan.

Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak bantahan yang dikemukakan terhadap pencalonan Ab Aziz itu.

Sehingga tempoh bantahan tamat pada pukul 11 pagi, SPR memaklumkan hanya menerima satu bantahan terhadap kedua-dua pencalonan tanpa memaklumkan bantahan berkenaan dibuat terhadap BN ataupun PAS.

Namun Ab Aziz ketika ditemui media memaklumkan bahawa PAS membangkit isu status pekerjaannya sama ada masih menjawat jawatan kerajaan ataupun tidak.

"Bantahan tersebut ialah sama ada saya masih menjawat jawatan kerajaan, mereka ingat saya tak berhenti kerja lagi.

"Tapi sebenarnya saya telahpun memohon bersara awal...lebih awal lagi," jelasnya.

Ab Aziz melepaskan jawatannya sebagai Pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sebuah agensi pusat bertanggungjawab memacu pembangunan Hulu Kelantan selepas diberi kepercayaan oleh kepimpinan tertinggi Umno bagi mewakili BN pada pilihan raya ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas yang akan diadakan pada 4 November depan menyaksikan saingan dua penjuru antara Ab Aziz daripada BN yang akan menentang calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed.

Mengulas mengenai strategi kempen yang bakal digunakan bagi menentang calon BN, Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang itu berkata, beliau akan menggunakan pendekatan mesra rakyat dengan menemui seramai mungkin pengundi sebelum hari pengundian.

"Pendekatan kita akan turun ke bawah, berjumpa dengan seramai mungkin pengundi, saya akan turun melawat ke ke pusat-pusat mengundi," katanya sambil menaruh keyakinan bahawa BN berpotensi untuk mencapai kemenangan di DUN Galas.

Ditanya sama ada beliau bimbang sekiranya pembangkang membangkitkan isu kelayakan akademiknya iaitu sekadar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding calon PAS yang merupakan seorang doktor, Ab Aziz berkata: "Soal itu saya tidak gerun, saya lebih lama berbanding calon PAS di Gua Musang.

"Saya pun berasal dari Gua Musang...banyak terlibat dalam aktiviti khidmat masyarakat, saya tak bimbang, dari segi peribadi tak ada masalah."

Artikel Lain