suria

Mangsa Patukan Ular Tedung Terima Bantuan RM20,000

KANGAR : Mangsa patukan ular tedung, Ahmad Asri Mohd Indra Suwardy, 2, yang mengalami kekejangan otot seluruh badan, menjadi penerima pertama Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (TSBB) di Perlis.

Cek bantuan sebanyak RM20,000 disampaikan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu bagi pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada ibu mangsa Nor Amali Ahmad, 27, di rumah mereka di Kampung Bukit Merah di sini, Selasa.

TSSB ialah perkhidmatan bantuan kewangan JKM di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang bertujuan meringankan beban mangsa atau keluarga mangsa serangan binatang buas seperti gajah, seladang, babi hutan, beruang, harimau, ular sawa, ular berbisa, primat (beruk, kera, siamang, ungka lotong serta kongkang) dan buaya.

Bantuan maksimum sebanyak RM20,000 diberikan dalam kes yang membabitkan kematian atau hilang upaya kekal, manakala bagi kes hilang upaya sebahagian, kadar bantuan ditentukan berdasarkan peratusan kategori kecederaan.

Sementara itu, Nor Amali berkata beliau amat bersyukur dengan bantuan itu dan berharap ia akan membolehkan anak bongsunya meneruskan kehidupan yang kini jauh berubah sejak dipatuk ular.

Beliau berkata Ahmad Asri kini hanya mampu menggerakkan matanya dan kurang menangis selepas dirawat seorang bomoh ular dari Sungai Petani, Kedah sejak beberapa bulan lepas.

"Keadaan luka patukan di kepalanya juga sudah beransur pulih dan Asri kini sudah mampu untuk minum susu tanpa bantuan tiub nesogastrik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya.

Nor Amali berkata sejak berita insiden yang menimpa anaknya dilaporkan, ramai orang tampil menghulurkan bantuan, dan pada masa sama, pegawai JKM juga sering melawat mereka.

Ahmad Asri pernah koma selama hampir dua bulan selepas kepalanya dipatuk reptilia berbisa itu ketika bermain dalam sebuah bilik di rumahnya pada 26 Mei lepas. - BERNAMA

Artikel Lain