suria

Lelaki Dihukum Penjara Maksima 20 Tahun Kerana Bunuh Suri Rumah

KOTA BAHARU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara maksimum 20 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap pertuduhan pindaan membunuh seorang suri rumah yang juga jirannya di Pantai Senok, Bachok, empat tahun lalu.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim ketika menjatuhkan hukuman terhadap Rahim Ngah, 33, menyifatkan kejadian bunuh itu adalah antara yang paling kejam sepanjang kerjayanya sebagai hakim kerana mangsa ditikam 32 kali.

Beliau berkata mangsa mengalami serangan yang amat dahsyat dan kejam, ditikam 32 kali, malah mangsa terus ditikam walaupun selepas kematiannya.

"Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dari tarikh kamu ditahan dan berharap kamu akan menjadi lebih baik selepas ini," katanya ketika membacakan penghakimannya.

Terdahulu Rahim yang hanya bekerja kampung mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya dan selepas hukuman dijatuhkan, tertuduh hanya tertunduk dan melihat keluarganya yang duduk di galeri awam.

Rahim pada 14 Sept 2006, antara pukul 8 hingga 9 pagi dirumah bernombor 1003, Kampung Senok, Bachok didakwa menyebabkan kematian Norazlina Awang yang ketika itu berumur 27 tahun.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun.

Peguambela tertuduh, P.Durai Raj dalam rayuannya berkata anak guamnya sudah insaf dan memohon agar mahkamah dapat mengambil kira perkara itu ketika membuat keputusan.

Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab bagaimanapun membantah dan meminta tertuduh dikenakan hukuman setimpal kerana apa yang dilakukan tertuduh itu adalah sesuatu yang kejam.

"Tertuduh juga membunuh di hadapan anak lelaki mangsa yang ketika itu berumur satu tahun dan mengikut laporan mangsa terus ditikam walaupun sudah mati. Mengalir air mata darah sekali pun mangsa tidak akan dapat dikembalikan semula," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain