suria

Kes Anwar : Saksi Dedah Kewujudan Satu Lagi Laporan Perubatan

KUALA LUMPUR: Seorang saksi dalam perbicaraan kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mendedahkan tentang kewujudan laporan perubatan pertama berkaitan sejarah dan pemeriksaan pengadu dalam kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Laporan awal yang tidak ditampilkan di mahkamah sebagai bukti itu disediakan sebelum laporan perubatan penuh bertarikh 13 Julai dibuat, dan ia kini diserahkan kepada mahkamah.

Pakar Bedah Umum Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Razali Ibrahim dalam keterangannya hari ini berkata laporan awal yang disimpan di HKL itu disediakan oleh beliau dan dua pakar lagi, iaitu pakar rawatan kecemasan Dr Khairul Nizam Hassan dan pakar patologi forensik Dr Siew Sheue Feng, selepas mereka memeriksa Mohd Saiful selama tiga jam pada malam 28 Jun 2008.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak dapat ingat tarikh laporan itu yang ditandatangani oleh ketiga-tiga mereka. Dr Mohd Razali bagaimanapun berkata tarikh laporan yang bertaip itu adalah antara 28 Jun 2008 dan 13 Julai 2008.

Kewujudan laporan awal itu didedahkan oleh Dr Mohd Razali dalam sesi soal balas oleh peguam Anwar, Karpal Singh.

"Kami (Dr Mohd Razali, Dr Khairul Nizam dan Dr Siew) memeriksa pesakit (Mohd Saiful) pada 28 Jun 2008, pada pukul 9 malam dan menamatkan pemeriksaan itu tiga jam kemudian, pada pukul 12 tengah malam," katanya.

Anwar, 63, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merupakan Ketua Pembangkang itu sedang dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, bekas pembantu peribadinya yang berusia 25 tahun, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Karpal: Pada 28 Jun 2008 pemeriksaan dijalankan. Antara 28 June 2008 dan 13 Julai, terdapat satu lagi laporan dalam tempoh masa itu?

Dr Mohd Razali: Laporan pemeriksaan dan sejarah pesakit.

Karpal: Jadi laporan sejarah itu lebih terperinci dalam laporan ini?

Dr Mohd Razali: Saya tidak ingat.

Ditanya Karpal sekiranya Dr Mohd Razali boleh tampilkan laporan itu kepada mahkamah kerana ia amat penting kepada pihak pembelaan, pakar bedah itu menjawab laporan itu boleh didapati di HKL, tapi dia tidak tahu di mana laporan itu sekarang.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah kemudiannya menghentikan seketika prosiding bagi membolehkan kedua-dua pihak berbincang mengenai laporan awal itu.

Selepas prosiding bersambung, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden memaklumkan kepada mahkamah bahawa Dr Siew mempunyai salinan laporan itu yang tidak ditandatangan.

Karpal menjawab bahawa salinan yang tidak bertandatangan tidak membawa sebarang kesan, dan beliau mahukan supaya salinan yang bertandatangan sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Mohd Razali, ditampilkan.

Perbicaraan kemudiannya disambung esok bagi membolehkan para doktor dan pegawai penyiasat mencari laporan awal itu di HKL, untuk dibawa ke mahkamah pada Selasa.

Terdahulu semasa menjawab satu soalan Karpal, Dr Mohd Razali berkata sepanjang tiga jam pemeriksaan, ia turut dihadiri oleh pegawai penyiasat Supt Jude Pereira.

Ditanya tujuan kehadiran pegawai polis semasa pemeriksaan, Dr Mohd Razali menjelaskan bahawa anggota polis berada di situ kerana kes itu dianggap sebagai kes undang-undang yang berkaitan perubatan.

Dr Mohd Razali juga memberitahu mahkamah bahawa pemeriksaan itu dijalankan pada 28 Jun 2008 dan laporan klinikal pada pemeriksaan itu disediakan pada 13 Julai 2008.

Karpal: Adakah laporan ini diminta oleh sesiapa? Oleh mana-mana pihak?

Dr Razali: Saya tidak diberitahu. Oleh pihak lebih tinggi.

Karpal: Awak andaikan ia dibuat oleh pihak berkuasa yang lebih tinggi?

Dr Mohd Razali: Ya.

Karpal: Kenapa?

Dr Mohd Razali: Kerana biasanya pihak berkuasa lebih tinggi yang perlukan laporan itu.

Karpal: Pihak berkuasa lebih tinggi, maksud awak polis?

Dr Mohd Razali: Saya tidak tahu. Mungkin.

Karpal: Biasanya dalam kes ini, oleh polis? Dr Mohd Razali: Ya, seharusnya polis. - BERNAMA

Artikel Lain