suria

Dadah Bernilai RM1.76 Juta Ditemui, Wanita Georgia Ditahan

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang wanita Georgia selepas menemui dadah bernilai RM1.76 juta dalam satu serbuan di sebuah hotel di sini, tengah malam Isnin

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah Supritenden Abd Rahim Dolmat berkata wanita berumur 26 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.50 tengah malam kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 5.5 kg yang disorok dalam empat bingkai gambar yang dijumpai dalam beg pakaiannya.

Beliau berkata tiga daripada bingkai gambar itu masing-masing menyimpan lapan paket plastik berisi dadah berkenaan, manakala satu bingkai gambar lagi mempunyai enam paket.

Menurutnya polis mendapat maklumat mengenai wanita ini ekoran penahanan seorang lagi wanita warga Georgia berumur 37 di Pulau Pinang semalam, selepas polis menemui lebih 5kg syabu yang disorok dalam bingkai gambar dalam begnya.

"Polis tidak menolak kemungkinan wanita yang ditahan di sini malam tadi terlibat dengan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa," katanya pada sidang akhbar mengenai rampasan dadah itu di sini, Selasa.

Abd Rahim berkata ia merupakan kunjungan pertama wanita itu ke Malaysia, dengan menggunakan visa lawatan.

Beliau berkata kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain