suria

Akaun Aplikasi SMS Dibuka Atas Permintaan Dr Ahmad Ramzi: Saksi

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini diberitahu bahawa akaun aplikasi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang digunakan untuk menghantar mesej berbaur ugutan kepada tiga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu, dibuka atas permintaan Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir.

Nor Irwan Zainal Abidin, 32, berkata, akaun SMS itu dibuka pada awal Mac 2009 ketika beliau bertugas sebagai setiausaha kerja sekretariat pemulihan Umno dan Dr Ahmad Ramzi merupakan seorang daripada tiga pegawai atasannya, selain Datuk Seri Idris Jusoh.

Katanya, beliau diminta menghubungi pemilik Syarikat Mobile Biz Network Hazwan Abu Hassan untuk membuka akaun itu yang akan digunakan pada kempen pemilihan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana dan Idris merupakan salah seorang calon.

Beliau berkata Dr Ahmad Ramzi turut mendepositkan RM1,000 ke dalam akaun banknya untuk membayar pendaftaran dan pembelian kredit bagi akaun aplikasi SMS berkenaan.

"Akaun tersebut kemudian didaftarkan di atas nama saya. Proses pembukaan itu tidak dimaklumkan kepada Dr Ramzi kerana beliau hanya perlu tahu ia telah siap," katanya pada perbicaraan Dr Ahmad Ramzi yang menghadapi empat pertuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga ADUN.

Nor Irwan yang kini bertugas sebagai pegawai kerani di ibu pejabat Umno Kuala Lumpur berkata, Dr Ahmad Ramzi kemudian meminta identiti nama akaun dan kata laluan selepas kempen pencalonan anggota MT tamat pada April 2009.

"Saya dimaklumkan melalui SMS meminta saya menutup akaun tersebut dan mendapatkan semula nilai kredit yang masih tinggal. Saya kemudian pergi berjumpa dengan Hazwan di Bangi Golf Resort pada 20 April 2009, sebelum saya ditahan polis pada malam hari berkenaan," katanya.

Sebelum itu, katanya, beliau menerima satu SMS daripada Dr Ahmad Ramzi berbunyi "Selagi boleh tolong cover aku n big bos. Aku rasa ada yang nak kenakan big bos krn isu MB ni. Aku akan cover kau, don't worry! TQ" pada 7.05 petang pada hari yang sama.

Nor Irwan berkata, selepas menerima SMS itu, beliau mengesyaki Dr Ahmad Ramzi terlibat dalam penghantaran SMS berbaur ugutan tersebut.

Dr Ahmad Ramzi yang merupakan bekas setiausaha politik Idris yang ketika itu Menteri Besar Terengganu, didakwa mengugut ADUN Paka Mohd Ariffin Abdullah, ADU NPermaisuri Abd Halim Jusoh dan ADUN Ajil Datuk Rosol Wahid di E726, Kampung Kubang Parit antara 11.21 malam dan 11.25 malam, pada 13 April tahun lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, Dr Ahmad Ramzi mengancam untuk mendatangkan kematian kepada ketiga-tiga ADUN.

Dia turut didakwa memfitnah bekas setiausaha sulit Menteri Besar Terengganu Wan Ahamad Wan Muda, yang kini timbalan setiausaha kerajaan negeri, dengan menghantar SMS ugutan itu melalui nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Dr Ahmad Ramzi diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz.

Perbicaraan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid disambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain