suria

Subjek Sejarah Kunci Bina Semangat Nasionalisme Generasi Muda

GEORGE TOWN: Keputusan kerajaan untuk menjadikan subjek Sejarah sebagai syarat wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah satu langkah yang dapat membantu membina semangat nasionalisme di kalangan generasi muda, kata Fellow Penyelidik Kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Profesor Ahmat Adam.

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan menaikkan taraf subjek sejarah di sekolah bagi memberi pendedahan sebenar kepada golongan pelajar mengenai latar belakang negara mereka sendiri.

Beliau berkata, tema yang ada dalam sukatan pelajarannya pula perlu diperluaskan bagi menarik perhatian generasi muda kerana subjek itu adalah kunci bagi memupuk semangat nasionalisme kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kementerian Pelajaran bagaimanapun perlu mengubah sukatan subjek Sejarah Malaysia berdasarkan kebenaran kajian dan penyelidikan yang menyeluruh bagi membantu pelajar memahami dengan lebih terperinci sejarah negara dengan melihat konteks sejarah rumpun Melayu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Kebangsaan Sejarah Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini pada Isnin.

Ia dirasmikan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM Prof Datuk Abu Talib Ahmad.

Ahmat berkata antara pengubahan dan penambahbaikan perlu dilakukan dalam sukatan pelajaran Sejarah itu ialah membuang unsur-unsur propaganda bagi memudahkan generasi muda memahami fakta sebenar sejarah.

Dalam perhimpunan agung Umno yang berakhir Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusdan bagi menjadikan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus sama seperti syarat lulus subjek bahasa Malaysia bagi memperoleh SPM mulai tahun 2013.

Pengerusi Bahagian Sejarah Universiti Sains Malaysia Profesor Ooi Keat Gin pula berkata mata pelajaran Sejarah ini sepatutnya diwajibkan dari dahulu lagi untuk memberi kesedaran kepada generasi muda mengenai kesukaran yang dilalui oleh para pejuang untuk membentuk Malaysia.

Katanya buku teks subjek itu perlu dikaji dan dirombak dengan menyelitkan sumbangan semua pihak yang berjasa dan menyumbang bakti kepada negara.

"Pelajar juga perlu diberi peluang untuk memberikan pandangan terhadap isu sejarah yang boleh dikongsi bersama berdasarkan perspektif zaman dahulu, sekarang dan pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata, fakta sejarah juga perlu dititikberatkan dari semua aspek termasuk sosial, agama, budaya, makanan dan sebagainya bagi menarik perhatian generasi muda terhadap subjek ini.

Bercakap kepada Bernama, Abu Talib berkata subjek sejarah bukanlah berdasarkan propaganda sahaja tetapi ia melibatkan fakta mengenai apa yang telah berlaku dan sejarawan pula perlu diberi peluang menulis fakta sejarah mengikut caranya tersendiri tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak.

Katanya skop subjek sejarah itu sendiri perlulah diubahsuai agar ia menjadi subjek yang menyeronokkan tanpa hanya melihat dan mengingati fakta semata-mata. - BERNAMA

Artikel Lain