suria

SPR Ingatkan Tiada Kumpulan Pemantau Dilantik

GUA MUSANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengingatkan mana-mana pihak supaya jangan mengambil kesempatan memasuki kawasan larangan di tempat penamaan calon di Pejabat Ketua Jajahan pagi Selasa dengan mendakwa mereka dari kumpulan pemantau pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menegaskan pihaknya tidak melantik mana-mana kumpulan atau badan bukan kerajaan (NGO) bagi memantau perjalanan hari penamaan calon itu dan tetap tidak dibenarkan masuk kecuali petugas yang ada pas kebenaran SPR.

"Dalam keadaan itu macam-macam boleh berlaku tetapi kita bertegas dengan peraturan dan diserahkan kepada polis untuk mengawal keadaan serta menyemak pas SPR sebelum dibenarkan masuk ke kawasan penamaan calon itu," katanya kepada media di Pusat Media di Kesedar Inn, pada Isnin.

Beliau berkata mereka yang mendakwa pemantau itu nanti boleh membuat pemantauan di luar kawasan pejabat berkenaan dan berada bersama penyokong parti yang bertanding.

Wan Ahmad berkata beliau juga berpuas hati dengan segala persiapan terakhir termasuk langkah keselamatan.

"Polis menyatakan ketetapannya meletakan rombongan parti yang mengiringi calon bertanding sejauh 150 meter dan memadai bagi mengelakan sebarang kemungkinan kejadian tidak dingini berlaku.

Katanya, penamaan calon itu akan dibuka mulai jam 9 hingga 10 pagi manakala dokumen calon parti yang bertanding pula akan dipamerkan selama sejam dari pukul 10 hingga 11 pagi dan selepas itu SPR tunggu bantahan sebelum mengumumkan calon yang layak bertanding. - BERNAMA

Artikel Lain