suria

RM366.1 Juta Peruntukan Disalur Kepada JHEOA Bagi 2008-2009

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan peruntukan RM366.1 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) sepanjang dua tahun lepas bagi memastikan masyarakat itu tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek berkata peruntukan itu meliputi perbelanjaaan pembangunan sebanyak RM191.8 juta dan RM174.3 juta bagi perbelanjaan mengurus.

"Menerusi perbelanjaan pembangunan bagi 2008 hingga 2009, peruntukan itu diguna bagi melaksanakan tiga program yang memfokuskan kepada penempatan tersusun, pembangunan ekonomi dan pembangunan sosial masyarakat Orang Asli," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Azmin Ali (PKR-Gombak) yang mahu tahu berapakah peruntukan yang diberikan kerajaan kepada JHEOA sepanjang dua tahun lepas dan program yang telah dijalankan jabatan itu bagi pembangunan masyarakat Orang Asli.

Hasan berkata sebanyak RM50.2 juta atau 83 peratus daripada perbelanjaan itu telah disalurkan bagi program penempatan tersusun, yang meliputi projek Rancangan Pengumpulan Semula (RPS), Penyusunan Semula Kampung (PSK) dan kawasan yang terdedah kepada risiko.

"Menerusi Program Pembangunan Ekonomi, sebanyak RM45.1 juta meliputi 97 peratus daripada peuntukan itu telah dibelanjakan kepada projek pembangunan ladang, pengembangan kursus, bantuan keusahawanan dan bantuan input pertanian," katanya.

Hasan berkata bagi program pembangunan sosial pula, sebanyak RM 82.9 juta daripada RM86.3 juta peruntukan yang telah diberikan, disalurkan kepada projek seperti pembinaan rumah ketua masyarakat, program bantuan rumah, pelbagai projek infrastruktur dan kemudahan awam, program kesihatan dan perubatan, pembinaan pusat transit dan penyediaan kemudahan pentadbiran di pelbagai negeri.

Selain itu, peruntukan khas berjumlah RM20 juta setahun bagi program peningkatan kualiti hidup masyarakat Orang Asli meliputi bantuan bakul makanan, bantuan wang saku pelajar, bantuan input pertanian dan tambahan tambang pengangkutan turut diluluskan untuk program itu tahun ini.

"Peruntukan berjumlah RM89.9 juta menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) pada 2009 turut diluluskan bagi pelaksanaan projek program bantuan rumah, projek jalan kampung dan jalan pertanian," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain