suria

Penoreh Getah Ditahan Di Gerik Kerana Edar Dadah

IPOH: Polis menahan seorang penoreh getah berusia 31 tahun dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di kawasan Gerik berikutan penemuan seketul ganja mampat di dalam raga motosikalnya di Km 25 Jalan Kupang-Gerik Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Mahad Nor Abdullah berkata lelaki itu ditahan pada pukul 9 malam di kawasan Rawat & Rehat Bintang Hijau, Gerik dalam satu sekatan jalan raya selepas polis menerima maklumat daripada orang awam.

"Lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak itu didapati memiliki dadah seberat 950 gram di dalam beg galas yang diletakan di raga motosikal yang ditunggangnya", katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Mahad berkata hasil siasatan mendapati lelaki itu sedang menunggu di kawasan rehat itu dan dipercayai hendak menyerahkan dadah kepada pelanggannya.

Polis turut menemui wang tunai RM2,170 dipercayai hasil daripada penjualan dadah selain turut merampas sebuah telefon bimbit daripada lelaki berkenaan, katanya.

Siasatan juga mendapati lelaki berkenaan membeli dadah tersebut daripada satu sindiket dengan harga RM2,500.

Beliau berkata lelaki berkenaan di reman seminggu dan akan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Artikel Lain