suria

Pengusaha Bas Ekspres Digalak Guna GPS

BACHOK: Pengusaha bas ekspres yang membabitkan 450 buah bas di Kelantan, Terengganu dan Pahang digalak mengunakan sistem pengesanan global (GPS) untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang menggunakan perkhidmatan jarak jauh.

Penolong Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Persekutuan (LPKP) Pantai Timur, Maslinda Ramli berkata walaupun kerajaan belum lagi mewajibkan sistem itu digunakan di setiap bas, pengusaha dinasihatkan agar tidak memandang mudah mengenainya.

"Ini memandangkan sistem itu berupaya dapat mengurangkan jumlah kadar kemalangan terutama membabitkan penumpang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program sinar rohani anjuran Konsortium E-Mutiara Berhad di sini, pada Isnin.

Seramai 44 pemandu bas konsortium itu menyertainya yang turut di hadiri Pengerusi Eksekutifnya Nik Ibrahim Nik Ismail.

Beliau berkata menerusi sistem itu pihak pengusaha dapat mengesan setiap pergerakkan bas selama 24 jam sama ada dipandu laju atau disebaliknya serta dapat mengesan lokasi perjalanan bas tersebut.

Katanya setakat ini hanya konsortium berkenaan sahaja yang menggunakan sistem itu dan ia ternyata berhasil apabila tiada kemalangan yang membabitkan bas milik konsortium itu dalam tempoh lima tahun ini.

Sementara itu Nik Ibrahim berkata pihaknya membelanjakan lebih RM100,000 setahun untuk memasang alat itu di setiap bas miliknya termasuk sebuah bas dua tingkat.

Beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak memberi amaran serta merta apabila didapati pemandunya memecut laju melebihi 90 kilometer sejam sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan disamping mengeluarkan surat tunjuk sebab jika amaran itu tidak dipatuhi.

Katanya selain itu pihaknya juga dapat mengesan jika bas berkenaan keluar dari laluan perjalanan yang telah ditetapkan. - BERNAMA

Artikel Lain