suria

N45 Galas: Penyokong Diingatkan Patuhi Arahan Polis

GUA MUSANG: Penyokong parti-parti politik diingatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa terutamanya melibatkan kawasan berkumpul bagi mengelakkan berlakunya sebarang ketegangan pada hari penamaan calon esok.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berharap tidak ada mana-mana penyokong daripada parti tertentu masuk ke kawasan parti lawan semasa proses berkenaan untuk mencetuskan sebarang provokasi.

"Saya harap semua penyokong daripada mana-mana parti politik agar berkumpul ikut parti masing-masing.

"Jangan salah masuk kawasan... berkumpul ikut parti sendiri seperti yang sudah kita tetapkan," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar di sini, Isnin.

Sementara itu beliau berkata seramai 500 anggota ditempatkan pada proses penamaan calon bagi memantau keadaan keselamatan dan lalu lintas.

"Kita yakin proses esok akan berjalan lancar, seramai 500 anggota ditugaskan bagi memantau pergerakan esok.

"Polis telah buat persediaan rapi dan akan pastikan ketenteraman awam dan keadaan lalu lintas terkawal," katanya.

Beliau juga berkata tiada sebarang penutupan jalan akan dilakukan esok.

Artikel Lain