suria

N45 Galas: PAS Kekal Calonkan Dr Zulkefli

GUA MUSANG: PAS menafikan desas-desus kononnya parti itu akan menukar calonnya pada saat-saat akhir menjelang proses penamaan calon esok.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perkara tersebut hanya sekadar khabar angin dan menegaskan parti itu akan mengekalkan calon yang telah diumumkan pada Khamis lalu.

"Buat apa nak tukar calon, kita sudah isytihar calon hari itu," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program 'Bertani satu Ibadah' di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cakap-cakap bahawa PAS akan menamakan individu lain pada proses penamaan calon esok kerana dipercayai calonnya sebelum ini tidak diterima oleh pengundi tempatan.

Khamis lalu, PAS mengumumkan pengamal perubatan, Dr Zulkefli Mohamad, 44, yang juga pemangku Yang Dipertua parti itu di Gua Musang, sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil 4 November ini.

Lulusan Universiti Malaya itu berkhidmat kepada masyarakat melalui kliniknya di Ciku 3, iaitu kira-kira 50 kilometer dari bandar Gua Musang.

Mengulas sama ada Dr Zulkefli mampu mengekalkan kemenangan PAS di DUN Galas, Menteri Besar Kelantan itu berkata: "Tentulah saya yakin boleh menang sebab itu kita pilih (Dr Zulkefli)."

Sebelum ini Pengarah Pilihanraya Kelantan, Abdul Fatah Haron membayangkan bahawa calon PAS boleh di tukar di saat akhir sekiranya tidak diterima rakyat.

Artikel Lain