suria

N45 Galas: Keputusan Diketahui 8 Malam

GUA MUSANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang bakal diadakan 4 November depan bakal diketahui selewat-lewatnya pukul 8 malam.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya telahpun menyediakan dua buah helikopter bagi melancarkan urusan pilihan raya terutamanya dari segi logistik ke kawasan pedalaman.

Jelas beliau, penggunaan pesawat berkenaan adalah bagi memudahkan urusan membawa peti undi dari kawasan pedalaman yang sukar dilalui menggunakan laluan darat.

"Sebuah helikopter akan digunakan untuk hantar dan ambil petugas, jalankan urusan pengendalian pilihan raya... apabila peti undi di kawasan berkenaan ditutup pada kira-kira pukul 1 petang, peti-peti undi itu akan dibawa menggunakan helikopter yang kita sediakan itu.

"Dan kalau semua peti undi berjaya dibawa pulang ke Dewan Sivik tempat pengiraan undi tepat pada waktu yang kita jangkakan, kira-kira pukul 6.30 petang proses pengiraan akan boleh bermula... pegawai pengurus pilihan raya akan umumkan dari masa ke masa keputusan setiap peti undi," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Bagaimanapun Wan Ahmad berkata faktor cuaca turut mempengaruhi proses membawa peti undi ke pusat pengiraan undi.

"Kecuali keadaan cuaca buruk dan helikopter tak boleh terbang... kita terpaksa guna alternatif lain iaitu pacuan empat roda.

"Insya-Allah dengan pengalaman kita sebelum ini, semua kemungkinan yang bakal berlaku telah kita ambil kira," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai proses penamaan calon yang bakal diadakan esok, Wan Ahmad berharap semua bakal-bakal calon yang akan menyerahkan borang pencalonan agar tiba awal ke pusat penamaan calon bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.

"Kita buka proses penamaan calon pada pkul 9 pagi, jadi saya harap bakal-bakal calon supaya datang awal... pihak polis juga sudah bersiap sedia dengan pasukannya untuk pastikan keadaan lalu lintas terkawal," katanya.

Selain itu beliau turut mengingatkan agar penyokong parti-parti politik agar mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kekecohan.

Artikel Lain