suria

KTMB Lancar Tren Kargo Terpanjang Di Asia Tenggara

PADANG BESAR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Isnin melancarkan perkhidmatan kargonya yang diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai terpanjang di Asia Tenggara.

Pengurus Besar Perkhidmatan Jargor KTMB Azman Ahmad Sharabi berkata keretapi berkeupayaan membawa 50 gerabak dan sepanjang 800 meter itu menawarkan perkhidmatan antara Padang Besar dan Pelabuhan Pulau Pinang.

"Tren yang menarik 50 gerabak itu akan mengambil masa sembilan jam untuk sampai ke Pulau Pinang dan tempoh itu dapat disingkatkan kepada antara empat dan lima jam apabila landasan berkempar Ipoh-Padang Besar siap sepenuhnya pada 2013," katanya pada sidang media selepas pelancaran di sini.

Beliau berkata sebelum ini perkhidmatan kargo hanya berupaya membawa 20 gerabak sebelum ditingkatkan kepada 25 dan seterusnya 30 gerabak menggunakan lokomotif berkuasa tinggi kelas 26 dan 29.

Bagi meningkatkan keupayaan lokomotif, KTMB menukar sistem brek lokomotif selain mengubah suai gerabak bagi menambah kelajuan larian.

Perkhidmatan kargo terpanjang ini dilancarkan selepas kejayaan larian percubaan pada April dan Julai lepas, kata Azman.

"Dengan peningkatan jumlah gerabak, jumlah muatan juga bertambah dan memenuhi keperluan produktiviti pelanggan," katanya. Beliau berkata tren kargo itu menawarkan perkhidmatan sekali seminggu. - BERNAMA