suria

KPT Berazam Lahirkan Pemenang Hadiah Noble - Saifuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berazam melahirkan sekurang-kurangnya seorang rakyat Malaysia yang memenangi Hadiah Noble, Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata sasaran itu hanya mampu dicapai jika kementerian memenuhi Petunjuk Prestasi Utamanya (KPI).

"Kita (kementerian) ada meletakkan matlamat itu, tetapi tak mudah untuk kita anggarkan bila. Kita perlu capai dulu KPI, iaitu meningkatkan akses kepada seramai mungkin rakyat negara ini mendapat pendidikan tinggi," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nga Kor Meng (DAP-Taiping) yang mahu tahu sama ada KPT ada meletakkan sasaran untuk melahirkan seorang pemenang Hadiah Noble di kalangan rakyat Malaysia menjelang 2020.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera), Saifuddin berkata sistem ranking yang diamalkan untuk mengukur prestasi Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dunia tidak boleh dijadikan ukuran utama sesebuah IPTA.

Beliau berkata ini kerana kriteria sistem ranking berubah mengikut tahun dan terdapat sistem yang membuat penilaian berdasarkan pencapaian keseluruhan, bukan mengikut fakulti.

Liew ingin tahu perancangan kerajaan dalam memastikan IPTA di negara ini kekal terbaik dalam ranking dunia, memandangkan kedudukan Universiti Malaya dalam Ranking Universiti Dunia QS 2010 merosot ke tempat 207 daripada kedudukan 108. - BERNAMA

Artikel Lain