suria

Kerajaan Terus Sokong Usaha Felda: Muhyiddin

LABIS: Kerajaan akan terus menyokong usaha FELDA dalam meningkatkan taraf kehidupan peneroka secara langsung serta membantu meningkatkan ekonomi negara selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata FELDA telah banyak berjasa dan memberi kehidupan sempurna kepada warga peneroka di negara ini dan oleh itu mereka perlu terus setia dan menyokong kerajaan.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada majlis penutupan Karnival Iktiraf FELDA Wilayah Johor Utara dan Melaka di FELDA Gugusan Maokil, Labis, Ahad.

Muhyiddin juga menafikan laporan akhbar Suara Keadilan sebelum ini bahawa FELDA telah bangkrap.

Katanya pada tahun lepas sahaja, FELDA membayar cukai pendapatan sebanyak RM77.96 juta, RM37.17 juta bonus Aidilfitri kepada 112,635 peneroka, dividen Koperasi Peneroka FELDA (14 peratus) iaitu sebanyak RM369.19 juta dan bayaran zakat perniagaan RM25.82 juta. - BERNAMA

Artikel Lain