suria

Kementerian Sumber Manusia Sedia Bantu Felda Lahir Pengurus Rumah Tangga

KUANTAN: Kementerian Sumber Manusia bersedia untuk membantu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam melahirkan Pengurus Rumah Tangga berkemahiran di kalangan anak peneroka Felda.

Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan berkata cadangan Felda untuk mewujudkan jawatan tersebut adalah positif dan dapat mengelak daripada kebergantungan kepada pembantu rumah warga asing.

"Kita mengalu-alukan usaha Felda ini dan saya yakin Felda mempunyai kekuatan organisasi yang cukup mantap dan kepakaran untuk mengendalikannya dan pihak kita sedia membantu mereka dari aspek persijilan dan petauliahan kemahiran kepada mereka yang mengikuti program Pengurus Rumah Tangga anjuran Felda," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penambahbaikan operasi dan peningkatan modal insan dalam industri minyak dan gas di sini pada Isnin.

Menurut Maznah pihak kementerian itu juga akan turut menguruskan pendaftaran dan penempatan mereka yang terlibat menjalani latihan kemahiran selama setahun mulai Januari depan.

Pengerusi Felda Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor baru-baru ini berkata Felda bersedia untuk menyediakan golongan pembantu rumah berkemahiran yang diistilah sebagai Pengurus Rumah Tangga dari kalangan lelaki dan wanita pada sebarang peringkat umur.

Katanya inisiatif itu diambil sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada pembantu rumah asing di mana kumpulan pertama yang terdiri daripada seramai 100 orang pelajar yang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, akan diberi kursus.

Mereka akan menjalani latihan kemahiran selama setahun itu akan dikendalikan oleh Yayasan Felda mengikut silibus berasaskan kemahiran seperti penjagaan kesihatan, memasak dan penjagaan kanak-kanak.

Mohd Yusof berkata anggaran minimum untuk perkhidmatan mereka ialah adalah antara RM700 hingga RM1,000 sebulan, bergantung kepada kemahiran Pengurus Rumah Tangga tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain