suria

KDN Tubuh Pasukan Khas Tingkat Kualiti Sistem Penyampaian

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan satu Pasukan Khas bagi membantu meningkatkan kualiti sistem penyampaian selain memantapkan imej Jabatan Imigresen.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mahmood Adam berkata penubuhan pasukan petugas khas itu diputuskan dalam satu mesyuarat kementerian, yang dipengerusikannya pada 22 Okt lepas, bertujuan memulihkan imej jabatan itu.

Pasukan khas itu diberi tempoh tiga bulan untuk mengenal pasti isu-isu serta mengemukakan inisiatif yang dapat memantapkan dan meningkatkan imej serta integriti Jabatan Imigresen.

"Pasukan khas ini dapat membantu KDN dalam usaha untuk meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan serta memastikan moral, kebajikan dan integriti warga Jabatan Imigresen Malaysia sentiasa terpelihara demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Seramai 10 pegawai, akan dipilih berdasarkan tahap integriti tinggi serta rekod perkhidmatan yang baik, untuk menganggotai pasukan itu. - BERNAMA

Artikel Lain