suria

Kajian Teliti Kereta Api Laju KL-Singapura Sebelum Akhir Tahun

KUALA LUMPUR: Satu kajian teliti mengenai kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura akan dijalankan sebelum projek tersebut dicadangkan kepada kerajaan untuk mendapatkan kelulusan, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, pada Isnin.

"Pada akhir tahun ini, satu kaji selidik akan dimuktamadkan mengenai kebaikan dan keburukan melaksanakannya," kata Idris semasa ditanya sama ada kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura itu dianggap sebagai satu daripada projek yang membawa kesan tinggi.

Ini, katanya, akan diikuti oleh kaji selidik terperinci pada Januari tahun depan.

Idris ditemui oleh pemberita selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Ekonomi, di sini.

"Sebaik sahaja kaji selidik terperinci konsep diselesaikan, ia akan kemudiannya dibawakan kepada Majlis Ekonomi dan Kabinet untuk dipertimbangkan," kata Idris. Beliau berkata selepas kerajaan Malaysia bersetuju untuk melaksanakannya," barulah kami akan berbincang dengan kerajaan Singapura".

Projek itu kali pertamanya diilhamkan oleh YTL Group tetapi ia tidak diberikan kelulusan oleh kerajaan pada masa itu disebabkan ia melibatkan kos yang tinggi.

Bagaimanapun, ia telah disebut sebagai cadangan projek yang mempunyai kesan tinggi dalam ETP. - BERNAMA

Artikel Lain